DUNIA > BERITA

DUA LAGI ANGGOTA UNIFIL MAUT, DUA CEDERA DALAM LETUPAN DI SELATAN LUBNAN

31/03/2026 10:02 AM

ISTANBUL, 31 Mac (Bernama-Anadolu) -- Dua anggota pengaman di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) maut manakala dua yang lain cedera, termasuk seorang parah dalam satu letupan yang menyasarkan kenderaan mereka di selatan Lubnan, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, UNIFIL memaklumkan bahawa dua anggota itu terkorban dalam satu “letupan yang tidak diketahui puncanya” yang memusnahkan kenderaan mereka berhampiran Bani Hayyan di daerah Marjeyoun.

Insiden itu merupakan kejadian kedua seumpamanya dalam tempoh 24 jam, menurut misi berkenaan, sambil menambah bahawa siasatan berhubung kejadian itu telah dilancarkan.

“Kami menegaskan bahawa tiada siapa sepatutnya kehilangan nyawa ketika berkhidmat demi keamanan,” menurut kenyataan itu.

Pada Ahad, UNIFIL memaklumkan seorang anggota pengaman maut manakala seorang lagi cedera selepas satu projektil mengenai pos UNIFIL berhampiran Adshit al-Qusayr di selatan Lubnan.

Agensi berita negara Lubnan NNA melaporkan bahawa tembakan artileri Israel menyasarkan ibu pejabat unit UNIFIL Indonesia di bandar yang sama, tanpa memberikan butiran lanjut.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan