EKONOMI > BERITA

MYCRON STEEL METERAI MOU DENGAN PENGELUAR KELULI JEPUN JFE STEEL

20/09/2024 06:44 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Mycron Steel Bhd memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan pengeluar keluli Jepun JFE Steel Corporation bagi memacu penggunaan penyelesaian keluli hijau di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Mycron Steel Roshan Mahendran Abdullah berkata MOU itu menandakan perjalanan syarikat itu ke arah revolusi keluli hijau baharu.

"Ini permulaan perjalanan kami. Ketika ini, ia hanya akan melibatkan peratusan kecil keseluruhan pengeluaran kami, tetapi kami yakin dalam lima tahun akan datang, permintaan keluli hijau akan meningkat dua setengah kali berbanding ketika ini.

"Menjelang 20230, keluli hijau akan menyumbang sehingga 25 peratus jumlah keluli global," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MOU itu di sini hari ini.

Sebahagian daripada inisiatif syarikat itu Roshan Mahendran berkata Mycron merancang untuk melancarkan produk keluli hijau yang dipatenkan sendiri menjelang tahun depan.

Pengguna akhir yang menggunakan produk keluli hijau yang dipatenkan ini boleh mengurangkan jejak karbon mereka, katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Mycron Steel berkata ia akan menyepadukan keluli hijau JGreeXTM JFE Steel ke dalam proses pengeluarannya.

Ia berkata keluli hijau JGreeXTM menggunakan pendekatan pengimbangan jisim untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) dengan ketara merentasi keseluruhan rantaian pengeluaran keluli.

Kaedah pengimbangan jisim ini mematuhi garis panduan Persekutuan Besi dan Keluli Jepun, yang memastikan faedah terhadap alam sekitar dikira dan disahkan dengan tepat oleh organisasi bebas ClassNK, katanya.

Mycron berkata MOU itu juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan pasaran keluli hijau di Malaysia dan meneroka kemajuan selanjutnya dalam pengeluaran keluli mampan.

Mengulas mengenai industri keluli, Roshan Mahendran berkata keluli China ketika ini membanjiri pasaran global akibat permintaan yang rendah di negara itu.

“Ia sudah pasti menjejaskan sentimen global, bukan sahaja di Malaysia, dan melembapkan permintaan keluli. Apabila terdapat lebihan bekalan, pelanggan cenderung untuk lebih berhati-hati semasa membeli.

“Jadi, kita berhubung rapat dengan kerajaan, khususnya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian. Saya percaya lebihan keluli dari China ini dapat dikawal,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan