EKONOMI > BERITA

PROGRAM EKSPORT PERNIAGAAN JANA JUALAN EKSPORT BERNILAI RM74 JUTA - SME BANK

23/09/2024 11:47 AM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- SME Bank Malaysia Bhd, melalui program eksport perniagaan (BEP) telah menjana jualan eksport tambahan lebih RM74 juta setakat 31 Ogos 2024, dengan 65 peratus syarikat memasuki pasaran eksport baharu.

Dalam satu kenyataan hari ini, SME Bank berkata program yang dilancarkan pada 2020 dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi membabitkan 84 syarikat dengan 48 syarikat berjaya menamatkan program tersebut baru-baru ini.

Bank itu berkata intervensi berstruktur berkenaan menyokong syarikat Malaysia untuk meneroka peluang eksport di Emiriah Arab Bersatu, Filipina, China, Jepun, Thailand, United Kingdom, Jerman dan Amerika Syarikat melalui lebih daripada 15 misi pemecut eksport.

Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim berkata BEP itu telah mengambil bahagian di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2024. Ia merupakan salah satu inisiatif utama bank untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri halal yang sedang berkembang.

Inisiatif utama lain termasuk Program Payung SME Bank, Pembiayaan HalalBiz dan Program Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan.

“Inisiatif-inisiatif ini selaras dengan matlamat negara untuk menempatkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi halal, terutamanya Pembiayaan HalalBiz memandangkan kami adalah salah satu institusi kewangan yang diberi mandat dalam Belanjawan 2024 untuk menggerakkan program ini bagi menyokong pertumbuhan eksport halal,” katanya.

SME Bank juga diamanahkan untuk menguruskan pelbagai program bagi meningkatkan sektor halal dalam kalangan PKS.

Ini termasuklah Program Inovasi dan Teknologi Halal, Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal, Program Pembangunan Kapasiti Usahawan Industri Halal dan Program Pembangunan Kapasiti Produk Halal, dengan peruntukan geran terkumpul kira-kira RM8.5 juta dalam tempoh 2023-2024.

"SME Bank sentiasa memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan PKS kerana mereka merupakan tulang belakang (ekonomi) negara, membentuk sebahagian besar perniagaan pada masa kini.

"Melalui inisiatif pembiayaan afirmatif dan pembangunan kapasiti kami, kami berbangga menjadi penghubung dan penggerak utama untuk membantu mereka merealisasikan aspirasi mereka," tambah Mohammad Hardee.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan