EKONOMI > BERITA

PEMULIHAN TRAFIK PENUMPANG UDARA MALAYSIA DIJANGKA CAPAI 94 PERATUS PADA 2024 - MIDF

23/09/2024 12:50 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Trafik penumpang udara Malaysia kini dijangka pulih kepada 94 peratus tahun ini, peningkatan ketara berbanding pertumbuhan sederhana empat peratus pada awalnya, kata MIDF Research.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, firma itu berkata ia baru-baru ini menyemak semula unjuran trafik penumpang udara Malaysia ekoran cabaran dalam industri, termasuk kelewatan penghantaran pesawat dan kekurangan alat ganti serta tenaga kerja.

"Pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan penurunan harga bahan api juga memberi manfaat kepada syarikat penerbangan, berikutan kebanyakan perbelanjaan terutamanya untuk bahan api jet adalah dalam denominasi dolar AS.

"Kami turut menjangkakan persekitaran hasil yang tinggi ini akan berterusan, dengan purata harga tambang akan meningkat susulan Malaysia Airline mengurangkan kapasiti sebanyak 20 peratus untuk sementara waktu sehingga hujung tahun ini," katanya.

MIDF juga menyatakan pasaran antarabangsa utama yang mendorong peningkatan trafik penumpang ialah Indonesia, China dan India.

Ia menjangkakan trend China dan India ini akan berterusan, disokong oleh dasar perjalanan tanpa visa 30 hari timbal-balik dengan China meneruskan dasar ini untuk Malaysia sehingga Disember 2025. 

Kadar pemulihan China dan India pula masing-masing pada 98 peratus dan 93 peratus pada akhir suku kedua 2024, katanya.

"Sementara itu, sektor domestik mencatatkan sedikit pemulihan pada 2.3 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2024, dipacu oleh operasi jet peribadi, perkhidmatan baharu yang diperkenalkan oleh syarikat penerbangan tempatan di Lapangan Terbang Subang.

MIDF menjangkakan pemulihan sektor itu kekal pada julat 80 hingga 90 peratus sehingga akhir tahun ini, dikekang oleh had kapasiti kerana syarikat penerbangan menumpukan pada pasaran antarabangsa berikutan permintaan yang lebih kukuh.

Justeru itu, MIDF Research mengekalkan penarafan ‘neutral’ pada sektor itu, dengan Capital A Bhd kekal sebagai pilihan sektor utamanya susulan perniagaan penerbangannya kurang terjejas oleh gangguan baru-baru ini. Harga sasarannya untuk Capital A ditetapkan pada RM1.06.

"Kami percaya rancangan pengaktifan dan pengembangan barisan pesawatnya dapat menangani jurang kapasiti," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan