EKONOMI > BERITA

INSENTIF ZON KEWANGAN KHAS FOREST CITY DIJANGKA TARIK MODAL ANTARABANGSA - PENGANALISIS

23/09/2024 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Pakej insentif bagi Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City (FC) dijangka dapat menarik modal antarabangsa terutamanya daripada individu bernilai tinggi ke wilayah itu. 

RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) berkata hasrat kerajaan untuk memulihkan FC adalah jelas, sambil menambah pakej insentif itu juga dijangka menarik minat syarikat pengurusan aset tempatan dan institusi kewangan.

“Kami difahamkan bahawa sudah ada beberapa institusi kewangan berpangkalan di Singapura menunjukkan minat terhadap SFZ, sementara menunggu garis panduan rasmi dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

RHB IB berkata jika ekosistem (peraturan dan infrastruktur) kukuh, sasaran menjadikan FC sebagai ‘family offices’ (pejabat keluarga) adalah wajar memandangkan kedekatannya dengan Singapura, yang merupakan hab pejabat keluarga utama di rantau ini.

“Dari semasa ke semasa, kami percaya akan ada keperluan tambahan untuk lebih banyak ruang pejabat dalam FC dan hartanah kediaman sedia ada di sana akan diduduki secara beransur-ansur.

“Selain daripada persekitaran makroekonomi yang kondusif (kadar faedah stabil, pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, ringgit yang lebih kukuh), insentif ekonomi kerajaan bagik zon khas dan kemasukan pelaburan dijangka menyokong sentimen pasaran bagi saham hartanah,” katanya.

Pada Jumaat minggu lepas, kerajaan mengumumkan insentif cukai sifar dan insentif lain untuk FC SFZ - menawarkan pemulihan yang sangat diperlukan oleh bandar tersebut.

Sementara itu, dalam satu nota penyelidikan berasingan, Hong Leong Investment Bank Bhd berkata potensi pertumbuhan pesat pejabat keluarga di Malaysia seharusnya memberi rangsangan positif kepada purata dagangan harian Bursa dalam jangka masa panjang.

Bank pelaburan itu berkata insentif cukai sifar peratus untuk pejabat keluarga dalam FC SFZ yang dijangka dilaksanakan pada suku pertama 2025 akan menjadi yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kadar cukai sifar peratus akan diberikan kepada pejabat keluarga selama 10 tahun dan memerlukan aset minimum di bawah pengurusan sebanyak RM30 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan