EKONOMI > BERITA

SUBSIDI BERSASAR RON95 BOLEH PENGARUHI TREND INFLASI MALAYSIA, KATA PAKAR

24/09/2024 11:34 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Kadar inflasi Malaysia yang berkurangan kepada 1.9 peratus pada Ogos 2024 telah menimbulkan kebimbangan mengenai implikasi mekanisme subsidi bersasar RON95, kata Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau menegaskan sumbangan besar RON95 sebanyak 5.0 peratus kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) meletakkannya sebagai faktor utama dalam menentukan arah aliran inflasi masa hadapan.

Walaupun kadar inflasi dicatatkan lebih rendah (pada Ogos 2024), sebahagian besarnya disumbangkan oleh kestabilan harga dalam sektor makanan dan minuman (F&B), oleh itu, Mohd Afzanizam memberi amaran bahawa rancangan pemansuhan subsidi RON95 mampu memberi tekanan ke atas harga jika tidak dikendalikan dengan teliti.

“Memandangkan penggunaan RON95 adalah agak tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, sebarang pelarasan subsidi mesti ditentukur dengan tepat,” katanya kepada Bernama.

Beliau menegaskan kepentingan melaksanakan langkah mitigasi yang berkesan seperti pemindahan tunai terus kepada isi rumah yang layak bagi memastikan mereka yang terjejas mendapat sokongan.

“Komunikasi yang jelas mengenai langkah-langkah ini adalah penting untuk mengurangkan kebimbangan orang ramai tentang kemungkinan kenaikan harga.

“Selain itu, kerajaan perlu memastikan tingkah laku penetapan harga dalam kalangan perniagaan diteliti untuk mengelakkan kenaikan harga yang berlebihan yang membolehkan mereka memperoleh keuntungan luar biasa,” tambahnya.

Mohd Afzanizam berkata ketika Malaysia bersedia menghadapi perubahan ekonomi ini, pihak pengurusan subsidi RON95 akan memainkan peranan penting dalam mengekalkan inflasi yang stabil selain memastikan keyakinan pengguna terhadap pasaran.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) berkata inflasi Malaysia berkurangan kepada 1.9 peratus pada Ogos 2024, didorong oleh kenaikan harga pada restoran dan utiliti serta makanan yang lebih mahal, walaupun IHP menokok kepada 133.2 berbanding 130.7 yang dicatatkan pada bulan yang sama 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan