AM > BERITA

Bukan Hanya Cari Silap, Juruaudit Dalaman Perlu Jadi Penasihat Yang Diyakini - IIAM

24/09/2024 07:21 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Kalangan juruaudit dalaman perlu mampu berkomunikasi secara terbuka dengan pihak pengurusan, menjadi penasihat yang diyakini dan berupaya mencipta nilai untuk organisasi berbanding tugas mencari silap semata-mata, kata Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM).

Gabenor IIAM Mohd Khaidzir Shahari berkata juruaudit dalaman juga perlu mengetengahkan nilai dalam peluang perniagaan baharu sejajar dengan pandangan pengurusan mengenai bidang risiko selain menyediakan jaminan dan khidmat nasihat berkaitan.

Beliau menekankankan bahawa juruaudit dalaman bukan sekadar mengikut cadangan pihak pengurusan, sebaliknya dapat memberi pandangan dalam laporan serta berkongsi maklumat strategik seperti pendigitalan proses manual.

“Ketelusan dan kerjasama dengan jabatan-jabatan lain yang memberi jaminan sama juga adalah penting. Juruaudit dalaman ini diharapkan mampu berperanan sebagai rakan niaga, mengenal pasti risiko utama seperti keselamatan siber dan isu berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Mereka sepatutnya melaporkan kepada pengurusan berbanding beroperasi secara sendirian,” katanya kepada Bernama.

Mohd Khaidzir yang juga Ketua Rakan Perkhidmatan Tadbir Urus, Risiko dan Pematuhan di KPMG Management and Risk Consulting Sdn Bhd, menegaskan kepentingan audit dalaman sebagai aspek teras dalam memastikan organisasi melaksanakan proses semak dan imbang yang tepat secara dalaman.

Ini adalah elemen yang telah diterima oleh awam, pihak berkepentingan serta institusi pelabur selain dapat memberi keyakinan apabila proses audit dalaman itu menepati piawaian ditetapkan.

Menyedari kepentingan dan peranan juruaudit dalaman dalam persekitaran yang sering berubah, Mohd Khaidzir berkata IIAM mempelawa kalangan profesional itu menyertai Persidangan IIAM 2024 pada 30 Sept-1 Okt, 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Antara topik yang bakal diketengahkan adalah kawalan dalaman, keselamatan siber, analisis data, ESG dan pengurusan risiko.

“Keperluan mendapatkan khidmat juruaudit dalaman yang berkelayakan dan berkebolehan kini lebih mendesak berbanding sebelum ini, terutama apabila lebih 1,000 syarikat di Bursa Malaysia menekankan aspek tadbir urus yang lebih ketara berkaitan ESG dan keselamatan siber dalam era pendigitalan," katanya.

Kerajaan telah mewajibkan syarikat tersenarai awam mewujudkan fungsi pengauditan dalaman untuk memastikan ketelusan dan tadbir urus korporat sejak 2009.

IIAM yang ditubuhkan pada 1977, merupakan organisasi profesional bukan berteraskan keuntungan untuk membangunkan profesion audit dalaman Malaysia selain menyediakan kepimpinan dan pensijilan profesional.

Organisasi itu mempunyai 3,000 ahli manakala terdapat 753 juruaudit dalaman bertauliah di Malaysia setakat Ogos 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan