EKONOMI > BERITA

PRESTASI JULAI AGAK MEMBERANGSANGKAN SELEPAS DIPACU IMPORT SEMIKONDUKTOR - DOSM

24/09/2024 02:13 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Malaysia menyaksikan prestasi ekonomi yang memberangsangkan pada Julai 2024, dengan indeks terkemuka (LI) mencatatkan 5.2 peratus, mencecah 115.1 mata berbanding 109.4 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu didorong oleh import sebenar semikonduktor, yang melonjak sebanyak 36.7 peratus dan Indeks Perindustrian Bursa Malaysia pada 35.4 peratus.

Prestasi bulanan LI juga menunjukkan lantunan positif dengan mencatatkan 1.1 peratus pada Julai 2024, berbanding penurunan 0.4 peratus semasa Jun 2024.

“Import sebenar semikonduktor (1.0 peratus) menyumbang paling banyak kepada pertumbuhan ini, mencerminkan kebangkitan semula dalam sektor teknologi dan industri berkaitan.

“Pada aliran jangka panjang Julai 2024, LI secara konsisten melangkaui 100.0 mata, menggambarkan ekonomi Malaysia yang berdaya tahan selepas disokong oleh pengembangan positif dalam penggunaan domestik dan permintaan berterusan oleh pasaran luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata indeks kebetulan (CI) juga menunjukkan pertumbuhan yang konsisten dengan peningkatan sebanyak 2.8 peratus pada Julai 2024, mencecah 127.3 mata berbanding 123.8 mata pada bulan yang sama tahun sebelum ini.

“Kenaikan keseluruhan dalam CI dikaitkan kepada penambahbaikan merentas semua komponen,” katanya lagi.

Mohd Uzir menambah bahawa pada masa yang sama, prestasi bulanan CI menokok sebanyak 0.7 peratus, disumbangkan oleh semua komponen kecuali Indeks Jumlah Dagangan Runcit (-0.1 peratus) .

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan