AM > BERITA

PRK Mahkota: Proses Undi Awal Berakhir, Pusat Pengundian Ditutup 5 Petang

24/09/2024 05:09 PM

KLUANG, 24 Sept (Bernama) -- Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tamat apabila tiga pusat ditutup pada 5 petang, setelah dibuka 8 pagi tadi.

Pusat pengundian itu ialah Dewan Mahkota di Kem Mahkota, Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim di sini.

Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan terdapat 4,510 tentera dan pasangan serta 401 polis bagi DUN Mahkota.

SPR menerusi kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 93.17 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 3 petang.

Cuaca baik sepanjang proses pengundian pagi tadi manakala gerimis pada sebelah petang.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun dilihat hadir ke pusat berkenaan bagi meninjau perjalanan proses pengundian awal PRK Itu.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dengan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar. 

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas. 

DUN Mahkota yang terletak di dalam Parlimen Kluang memiliki keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar, dengan 20 pusat mengundi biasa akan dibuka pada Sabtu ini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan