EKONOMI > BERITA

PERTUMBUHAN ASET KEWANGAN MALAYSIA KUKUH PADA 2023 DIPACU SEKTOR INSURANS DAN PENCEN - ALLIANZ

25/09/2024 03:38 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) – Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam aset kewangan pada 2023 dengan aset kewangan bersih per kapita mencecah EUR9,430 (1 EUR = RM4.6427), menurut Allianz Malaysia Bhd.

Pencapaian ini menempatkan Malaysia secara kukuh dalam kedudukan pertengahan di peringkat global dan Asia, mencerminkan trend positif dalam landskap kewangan negara, katanya dalam Laporan Kekayaan Global terbaharunya.

Allianz berkata pemacu utama kepada pertumbuhan ini ialah sektor insurans dan pencen.

“Sektor ini menyumbang sebanyak 42 peratus daripada portfolio kewangan negara, meningkat 9.8 peratus, pertumbuhan terpantas dalam tempoh lima tahun.

“Deposit bank juga berkembang dengan kukuh sebanyak 5.2 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, menurut laporan itu, sekuriti sebagai kelas aset yang mencatatkan pertumbuhan perlahan, hanya meningkat sebanyak 0.3 peratus, walaupun ini merupakan peningkatan selepas dua tahun mengalami pertumbuhan negatif.

“Apabila diselaraskan dengan inflasi, peningkatan pada 2023 hampir separuh kepada 3.2 peratus, dengan aset kewangan sebenar hanya melebihi sedikit daripada paras pada 2020 (0.8 peratus), walaupun ia masih jauh lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik (9.1 peratus),” kata Allianz.

Katanya hutang terus meningkat pada kadar 5.7 peratus, menjadikan nisbah hutang negara kepada 81 peratus pada akhir 2023.

Walaupun ini antara nisbah hutang tertinggi di Asia, ia masih lebih rendah daripada paras sebelum pandemik sebanyak 85 peratus, menurut Allianz.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan