EKONOMI > BERITA

TOKYO GAME SHOW 2024 BERMULA ESOK DENGAN TEMA 'TRAILBLAZE THE WORLD OF GAMING'

25/09/2024 07:05 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

TOKYO, 25 Sept (Bernama) -- Tokyo Game Show (TGS) 2024 akan bermula esok, 26-29 Sept, di Makuhari Messe, Chiba, Jepun, menandakan 28 tahun sejak dilancarkan pada 1996.

Bertemakan 'Trailblaze the World of Gaming', TGS 2024 akan menampilkan 10 peneraju industri permainan Malaysia iaitu Adticles, Ammobox Studios, Bear Down Studios, Dreamscapes Edtech, Esolved MSC, Goolee, Magnus Games Studio, Rcade Studio, Why Knot dan Todak Studios. 

Syarikat itu akan bernaung di bawah Pavilion Malaysia, yang diselaraskan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan matlamat untuk mengukuhkan kehadiran Malaysia dalam arena permainan global.

Ketua Transformasi MDEC Datuk Fadzli Abdul Wahit berkata sebagai agensi pembangunan di bawah Kementerian Digital, MDEC telah terlibat secara aktif dalam TGS sejak lapan tahun lalu.

“Impak yang kami alami daripada acara ini secara konsisten adalah amat positif.

“Bagi acara tahun ini, kami terus bekerjasama rapat dengan semua pemain industri. (untuk perjalanan ini) kami telah terlibat dengan syarikat besar seperti JP Games, Shueisha Games, Konami dan banyak lagi,” katanya kepada Bernama. 

Fadzli berkata MATRADE dan MDEC telah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat permainan utama mengenai potensi kerjasama serta perkongsian yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Saya percaya pendedahan antarabangsa yang diberikan kepada syarikat tempatan di TGS 2024 akan membolehkan mereka bekerjasama dalam pelaburan, meneroka peluang baharu serta meningkatkan teknologi mereka, akhirnya mewujudkan situasi menang-menang untuk firma tempatan dan global,” katanya.

MATRADE Tokyo akan menyelaraskan aktiviti utama di Pavilion Malaysia termasuk padanan perniagaan, sesi rangkaian dan pendedahan media, manakala MDEC akan mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi dengan penerbit permainan Jepun serta inkubator teknologi sepanjang acara empat hari itu.

TGS 2024 akan menampilkan lebih 700 peserta pameran termasuk syarikat Jepun terkemuka seperti Nintendo, Sony PlayStation, Sega, Square Enix, Capcom, Bandai Namco dan Konami.

Pasaran permainan Jepun diunjurkan mencecah 66 juta pengguna menjelang 2029 selain menjana US$44.41 bilion (US$1 = RM4.15) hasil pada penghujung 2024, menjadikannya salah satu pasaran permainan terbesar di dunia.

Pasaran permainan global dianggarkan mencecah US$503.14 bilion menjelang 2025, dengan Asia Pasifik ditetapkan untuk kekal sebagai pasaran permainan terbesar di seluruh dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan