EKONOMI > BERITA

MARIC LANCAR DIREKTORI REL PERTAMA MALAYSIA DI BERLIN

25/09/2024 11:42 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Industri Rel Malaysia (MARIC) telah melancarkan Direktori Industri Rel Malaysia yang pertama semasa majlis perasmian InnoTrans 2024 di Berlin, Jerman pada Selasa.

Pelancaran direktori itu dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Jerman Datin Dr Adina Kamarudin semasa Pameran InnoTrans, yang merupakan pameran perdagangan antarabangsa terkemuka bagi teknologi pengangkutan, yang dianjurkan secara dwitahunan di Berlin.

Pada majlis itu, ahli MARIC turut memeterai memorandum persefahaman dengan rakan kongsi antarabangsa seperti Siemens Mobility, Hyundai Rotem South Korea, Huawei, Downer Australia, Robel Germany dan PT Len Indonesia.

Presiden MARIC Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman berkata pertubuhan itu memainkan peranan yang amat penting dan menjadi pelengkap dalam keseluruhan ekosistem bagi menyediakan nasihat serta input terbaik kepada Kerajaan Malaysia.

“Kami akan bekerja keras untuk menyediakan input strategik kepada kerajaan dalam usaha menjadikan industri kereta api di Malaysia lebih baik," menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan susulan pelancaran direktori itu.

MARIC, yang ditubuhkan pada 17 April 2017, diamanahkan dengan misi untuk menyumbang kepada pembangunan kejuruteraan sistem kereta api Malaysia, menjadi pemain utama industri dalam projek berasaskan rel sejak 30 tahun lepas. 

Keahliannya telah meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan ahlinya terlibat dalam pelbagai kerja-kerja membabitkan sistem kejuruteraan rel seperti pembinaan, pemulihan, Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) serta Perkongsian Awam Swasta (PPP) di peringkat tempatan dan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan