JAIS SIASAT 612 INDIVIDU TERKAIT GISBH - EXCO AGAMA

26/09/2024 12:41 AM

SHAH ALAM, 25 Sept (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memperoleh kerjasama penuh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat 612 individu yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata kesemua individu tersebut disiasat di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Beliau berkata perkara itu didedahkan oleh Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad ketika memberi taklimat kepadanya berhubung kedudukan semasa tindakan jabatan itu mengenai GISBH sebagaimana dititahkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya sejurus selepas Ops Global dilaksanakan oleh PDRM pada 11 Sept lalu, JAIS pada hari yang sama menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Mohd Shahzihan, selain mewujudkan satu pasukan untuk memberi perhatian dan mengambil tindakan khusus berkaitan dengan tangkapan yang dibuat oleh pihak polis.

“Terdapat 386 individu yang diklasifikasikan sebagai mangsa yang diselamatkan akan ditemu bual, 184 individu sebagai Orang Yang Disyaki (OYDS) akan disiasat untuk tujuan pendakwaan, manakala baki 42 individu masih menunggu klasifikasi pihak PDRM. 

“Sehingga kini, lebih 100 individu yang disyaki (OYDS) telah ditangkap oleh JAIS untuk disiasat dan dirakam percakapan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohammad Fahmi berkata kesemua individu terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 7,8,10,12(c) dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Seksyen 106 dan 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.

Katanya mereka juga disiasat di bawah Seksyen 40 dan 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

Beliau berkata jawatankuasa khas itu juga telah melantik lapan Pegawai Penyiasat (IO) Khas untuk meneruskan siasatan beberapa kes penting yang melibatkan individu berprofil tinggi dalam GISBH.

Tangkapan oleh PDRM terhadap individu-individu terbabit dijangka akan membolehkan JAIS mengemukakan kes ke Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor, katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohammad Fahmi berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk mewujudkan satu mekanisme yang mudah dan cepat dalam menyemak maklumat berkenaan GISBH, yang dikatakan memungut wang atau sumbangan daripada umat Islam menerusi rumah-rumah amal demi kepentingan mereka.

Beliau berkata mekanisme itu akan membolehkan orang awam menyemak kebenaran memungut wang atau sumbangan daripada mana-mana pihak bagi menyokong dan memajukan agama Islam, atau bagi faedah orang Islam mengikut hukum syarak.

“Ini akan memastikan sumbangan umat Islam yang berniat baik dan ikhlas tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan atas dasar simpati dan agama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan