EKONOMI > BERITA

DASAR PENGKOMPUTERAN AWAN NEGARA AKAN TUMPU EMPAT TERAS UTAMA - PM ANWAR

01/10/2024 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memperkenalkan Dasar Pengkomputeran Awan Negara yang memberi penekanan terhadap empat teras utama.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata teras berkenaan adalah inovasi dan kecekapan perkhidmatan awam; daya saing dan pertumbuhan ekonomi; memacu pengembangan ekonomi dengan membolehkan perniagaan mengukuhkan kepercayaan pengguna serta keselamatan data dan pemerkasaan rakyat melalui keterangkuman digital.

Beliau berkata teras pertama membabitkan usaha kerajaan MADANI meningkatkan aspek inovasi dan kecekapan perkhidmatan awam manakala pemanfaatan teknologi awan membolehkan kerajaan menyasarkan pemodenan operasi, memupuk penglibatan rakyat serta menyelaras penyampaian perkhidmatan awam.

“Kedua, kita juga mahu menggalakkan daya saing dan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan pengembangan ekonomi dengan membolehkan perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat pemula niaga memanfaatkan teknologi awan untuk inovasi, kecekapan operasi dan akses ke pasaran global," kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah pembinaan pusat data dan wilayah awan pertama Google di Malaysia yang merangkumi pelaburan bernilai US$2 bilion.

Menjelaskan selanjutnya, Anwar berkata aspek ketiga menyentuh komitmen kerajaan untuk mengukuhkan lagi kepercayaan pengguna dan keselamatan data, termasuk mewujudkan rangka kerja dan protokol keselamatan yang teguh demi melindungi data sensitif serta infrastruktur kritikal dalam persekitaran awan awam dan swasta.

"Bagi teras keempat, kita akan memperkasa rakyat melalui keterangkuman digital. Pendekatan kita akan berasaskan rakyat serta inklusif, menggunakan teknologi awan untuk meningkatkan akses serta kecekapan perkhidmatan awam yang mengutamakan digital," kata beliau.

Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan intervensi dasar sebagai sesuatu yang penting dan kerajaan memerlukan input Google dalam usaha menarik pelaburan digital.

“Kita melaksanakannya dan inisiatif ini diperkenalkan selepas beberapa siri perbincangan dengan industri, termasuk Google.

“Peranan kolaboratif Google adalah bagi memberi penambahbaikan sewajarnya berdasarkan pengalamannya dengan negara-negara lain sebelum ini,” kata beliau.

Perdana Menteri turut berkongsi hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecerdasan buatan (AI) generatif dan memerlukan pelaburan daripada rakan teknologi untuk mewujudkan infrastruktur digital yang mantap dan selamat.

“Bagi memacu Malaysia dalam menerajui usaha AI, kerajaan MADANI telah melancarkan Pelan Hala Tuju Bakat AI untuk Malaysia dan Konsortium AI Malaysia sebagai laluan konkrit bagi kemajuannya,” kata beliau.

Pusat data Google yang sedang dalam pembinaan di Elmina Business Park, Selangor, akan dapat menangani peningkatan permintaan terhadap keupayaan awan Google, inovasi AI dan perkhidmatan digital lain yang digunakan setiap hari oleh individu serta organisasi di Malaysia.

Pelaburan Google itu juga dijangka menjana impak ekonomi bernilai lebih US$3.2 bilion serta mewujudkan 26,500 pekerjaan menjelang 2030. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan