EKONOMI > BERITA

SUNZEN BELI 70 PERATUS KEPENTINGAN EKUITI EYE NATION BAGI TEROKA PASARAN BAHARU

02/10/2024 03:42 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Sunzen Biotech Bhd (Sunzen) membeli 70 peratus kepentingan ekuiti dalam Eye Nation Medical Sdn Bhd (Eye Nation), sebuah syarikat yang terlibat dalam perniagaan peralatan diagnostik perubatan optik.

Pembelian itu akan membolehkan kumpulan itu berkembang ke dalam industri oftalmik.

Sunzen dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pihaknya telah memeterai perjanjian pembelian saham dengan Pengarah Eye Nation, Lee Peng Hwa dan Lay Lee Chin dengan wang tunai RM6.37 juta.

Setelah selesai pembelian, Eye Nation akan menjadi anak syarikat milik 70 peratus Sunzen.

Pengarah Urusan Kumpulan Sunzen Teo Yek Ming berkata dengan mengembangkan industri oftalmik, kumpulan itu boleh mendapat akses segera ke pasaran baharu di Malaysia melalui pengalaman luas dan pengetahuan industri khusus Eye Nation.

“Sunzen boleh memanfaatkan hubungan ini untuk memasuki pasaran baharu selain memanfaatkan hubungan kukuh Eye Nation dengan penyedia penjagaan kesihatan seperti hospital dan profesional perubatan serta dengan produk teras untuk mengukuhkan kedudukan kami dalam industri oftalmik.

"Selain itu, Eye Nation adalah entiti yang mantap dalam industri oftalmik dilengkapi dengan lesen, pensijilan dan sistem pematuhan yang diperlukan," katanya kepada pemberita pada taklimat media di sini hari ini.

Teo berkata pembelian itu akan membantu kumpulan Sunzen dalam mengemudi keperluan kawal selia yang kompleks, memenuhi piawaian industri, memastikan pematuhan produk dan mengurangkan risiko isu undang-undang.

“Pembelian ini dijangka memberi sumbangan positif kepada prestasi kewangan masa depan kumpulan Sunzen, meningkatkan pendapatan dan keuntungan kumpulan kerana ia disokong oleh jaminan keuntungan sebanyak RM2.60 juta selepas cukai yang diaudit dalam dua tahun kewangan akan datang,” katanya.

Teo berpendapat pembelian itu juga akan menyokong strategi dan objektif jangka panjang kumpulan serta meningkatkan nilai pemegang saham pada masa hadapan.

Sunzen terlibat terutamanya dalam bidang pembuatan dan penjualan produk penjagaan kesihatan serta menjalankan perniagaan pinjaman wang yang memfokuskan pada pinjaman untuk perusahaan kecil dan sederhana.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan