EKONOMI > BERITA

PROPERTYGURU SOKONG SKIM DEPOSIT MADANI, DORONG PEMILIKAN RUMAH PEMBELI KALI PERTAMA

02/10/2024 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- PropertyGuru Malaysia memberi sokongan sepenuhnya terhadap cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai skim Deposit MADANI dalam Belanjawan 2025 akan datang.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia Kenneth Soh berkata inisiatif itu memperlihatkan matlamat yang jelas terhadap rancangan kerajaan untuk meningkatkan pemilikan rumah di negara ini, terutama dalam kalangan pembeli rumah kali pertama.

"Inisiatif Deposit MADANI adalah sumbangan langsung yang membantu golongan pembeli muda serta pembeli kali pertama untuk peringkat pemilikan rumah," katanya dalam pembentangan di PropertyGuru Malaysia Property Pulse Check di sini hari ini.

Beliau berkata lebih sukar untuk menguruskan inisiatif yang "menjejaskan harga keseluruhan hartanah" memandangkan inisiatif sedemikian "kurang disasarkan" dan ini memberi kesan kepada keseluruhan pasaran.

Menteri KPKT Nga Kor Ming baru-baru ini berkata kementerian itu komited memberikan tumpuan kepada usaha memastikan golongan muda dapat memiliki rumah menerusi Deposit MADANI.

Nga berkata skim itu yang menyasarkan belia berumur 21 hingga 40 tahun adalah antara 33 cadangan KPKT kepada Kementerian Kewangan bagi Belanjawan 2025.

Maksimum Deposit MADANI sebanyak RM30,000 untuk rumah berharga tidak melebihi RM500,000, katanya.

Sementara itu, Soh turut menekankan kepentingan proses pelaksanaan untuk memastikan inisiatif rumah mampu milik berjaya dilaksanakan. 

Beliau berkata syarikat berminat untuk mendapatkan maklumat selanjutnya mengenai proses pelaksanaan memandangkan inisiatif itu tidak melibatkan hanya satu atau dua projek.

Soh turut mengunjurkan pertumbuhan yang positif terhadap pasaran hartanah yang disokong oleh permintaan yang semakin meningkat.

Beliau berkata syarikat menyaksikan "permintaan berkembang" dengan pendekatan yang lebih luas dan tidak terhad kepada kawasan utama serta permintaan yang semakin meningkat untuk hartanah yang terletak di kawasan separuh bandar.

"Kadar faedah agak stabil di Malaysia dan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar kita juga baik. Ini menunjukkan ekonomi yang baik secara keseluruhan, terutamanya untuk sektor hartanah," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan