EKONOMI > BERITA

ALIRAN TUNAI MMAG MASIH BERDAYA TAHAN WALAUPUN BERSTATUS GN3

04/10/2024 06:06 PM

SEPANG, 4 Okt (Bernama) -- MMAG Holdings Bhd menyatakan syarikat itu tidak mengalami sebarang masalah aliran tunai atau tekanan kewangan, walaupun telah mencetuskan Perenggan 2.1(g) daripada Nota Panduan 3 (GN3) bagi keperluan penyenaraian Pasaran ACE.

Pengarah Eksekutif Victor Chin Boon Long berkata syarikat itu telah berhubung dengan Bursa Malaysia Securities untuk memaklumkan yang pelan kawal selia kendiri sedang dilaksanakan.

"Kami telah mengambil langkah yang sewajarnya bagi mengatasi semua kebimbangan berkaitan masalah kewangan," katanya kepada media di luar majlis perkongsian strategik antara MMAG Aviation Consortium Sdn Bhd (MAC) dan Unilode Aviation Solutions, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Pegawai Eksekutif Unilode Ross Marino.

Chin berkata syarikat itu telah mengumpul RM240 juta, iaitu RM145.34 juta daripada terbitan hak dan memperoleh RM92.09 juta melalui penukaran waran, walaupun syarikat itu masih belum diumumkan sebagai berstatus GN3.

Pada Rabu, Bursa Malaysia Securities mengklasifikasikan MMAG Holdings sebagai syarikat berstatus GN3 selepas mencetuskan Perenggan 2.1(g) GN3 bagi keperluan penyenaraian Pasaran ACE.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu mendedahkan juruaudit luar telah menyatakan ketidakpastian material mengenai keupayaan syarikat dalam penyata kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2023.

Selain itu, ekuiti pemegang saham syarikat yang disatukan ialah 50 peratus atau kurang daripada modal saham terbitannya yang dikira berdasarkan keputusan kewangan syarikat yang belum diaudit pada 30 Jun, 2024.

Semalam, syarikat itu telah menghantar permohonan untuk pengecualian daripada diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai yang terjejas selepas mencetuskan kriteria GN3.

Sementara itu, Chin berkata perkongsiannya dengan Unilode akan membolehkan MAC menyampaikan perkhidmatan yang dipertingkatkan kepada pelanggan dan membuka ruang untuk potensi kerjasama seterusnya.

Perkongsian itu akan bermula dengan Unilode menyediakan pengurusan Peranti Muatan Unit (ULD) kepada MJets Air Sdn Bhd, unit kargo udara komersial dalam MAC.

Unilode juga akan menyediakan pengurusan dan perancangan ULD, akses kepada pusat pembaikan ULD Unilode di 50 lapangan terbang global dan rangkaian perkhidmatan ULD digitalnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan