EKONOMI > BERITA

PESTECH CADANG TERBITAN SAHAM TERHAD KEPADA DHAYA MAJU BERNILAI RM160 JUTA

04/10/2024 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Pestech International Bhd (Pestech) memeterai perjanjian langganan bersyarat dengan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) untuk cadangan terbitan terhad saham syarikat bernilai RM160 juta.

Perjanjian berkenaan melibatkan penerbitan 1.33 bilion saham pada harga 12 sen sesaham, mewakili kira-kira 135.43 peratus daripada jumlah saham terbitan sedia ada Pestech (tidak termasuk saham perbendaharaan) dan kira-kira 57.52 peratus daripada saham terbitan syarikat yang diperbesarkan.

Modal saham terbitannya sehingga 20 Sept, 2024 berjumlah RM232.94 juta, iaitu terdiri daripada 992.22 juta saham termasuk 7.67 juta saham perbendaharaan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pestech berkata cadangan terbitan terhad itu akan membolehkan kumpulan mengumpul dana dengan lebih cepat dan dengan cara yang kos efektif.

"Langkah ini dijangka mewujudkan kerjasama strategik dan sinergi antara kumpulan kami dengan DMIA Group, sambil meningkatkan daya saing serta menawarkan penyelesaian yang lebih komprehensif, membolehkan penyertaan dalam projek berskala lebih besar dan meluaskan jejak geografi kedua-dua pihak.

"Melalui penyertaan DMIA Group, kedua-dua pihak akan dapat mengembangkan keupayaan mereka, menawarkan penyelesaian dan perkhidmatan pengurusan projek serta pembinaan yang lebih holistik dan bersepadu kepada pelanggan mereka dengan memanfaatkan kepakaran, kekuatan dan kecekapan masing-masing terutamanya dalam pembangunan infrastruktur berkaitan rel," katanya.

 Pada masa yang sama, Pestech mencadangkan permodalan ke atas deposit sebanyak RM16 juta, iaitu 10 peratus daripada harga langganan yang dibayar oleh DMIA kepada syarikat selepas pelaksanaan perjanjian langganan saham.

DMIA juga mencadangkan untuk memohon pengecualian daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia daripada kewajipan untuk melaksanakan tawaran pengambilalihan mandatori bagi memperoleh baki saham Pestech dan waran tertunggak selepas penyelesaian urus niaga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan