EKONOMI > BERITA

EXIM BANK, GTC MEMETERAI PERJANJIAN US$19.97 JUTA UNTUK TINGKAT TELEKOMUNIKASI KEMBOJA

22/10/2024 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) telah memeterai perjanjian pembiayaan dengan Global Tower Corporation Pty Ltd (GTC) bernilai US$19.97 juta (US$ = RM4.32).

GTC, anak syarikat milik 75 peratus Rohas Tecnic Bhd (RTB Group), adalah pemain utama dalam perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi serta syarikat menara bebas terkemuka yang dilesenkan oleh pengawal selia telekomunikasi Kemboja bagi membina dan mengendalikan perkhidmatan menara telekomunikasi di negara tersebut.

Bank itu melalui satu kenyataan berkata pembiayaan itu akan menyokong pembinaan lebih 400 menara telekomunikasi di seluruh Kemboja, meluaskan liputan rangkaiannya, terutamanya kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan di kawasan bandar dan luar bandar.

“Pembiayaan itu adalah sebahagian daripada komitmen EXIM Bank untuk menyokong pengembangan global perniagaan Malaysia seperti RTB Group, terutamanya dalam pasaran pertumbuhan tinggi seperti Kemboja.

“Dengan bekerjasama dengan GTC dan RTB Group, EXIM Bank memperkukuh peranannya sebagai pemangkin kepada perniagaan Malaysia yang mengejar peluang pertumbuhan di luar negara, sambil menyumbang kepada pembangunan infrastruktur kritikal di rantau ASEAN,” katanya.

Bank itu menambah Kemboja, salah satu ekonomi ASEAN yang paling pesat berkembang, menawarkan peluang yang besar untuk sektor seperti telekomunikasi, infrastruktur dan teknologi hijau.

EXIM Bank melihat Kemboja sebagai pasaran strategik yang berpotensi mantap untuk pengeksport Malaysia termasuk tumpuannya bagi menambah baik infrastruktur serta sektor telekomunikasinya menawarkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk pengembangan.

“Dengan peningkatan urbanisasi, pertumbuhan permintaan untuk perkhidmatan digital selain usaha kerajaan Kemboja yang berterusan bagi melonjakkan kesalinghubungan, EXIM Bank optimis tentang peluang yang berterusan, terutamanya kepada syarikat-syarikat Malaysia dalam telekomunikasi, teknologi dan tenaga boleh baharu,” kata kenyataan itu.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EXIM Bank, Nurbayu Kasim Chang berkata bank berkenaan rasa berbangga dapat menyokong GTC dan RTB Group dalam projek tersebut, yang bukan sahaja akan mengukuhkan infrastruktur Kemboja tetapi mewujudkan peluang pertumbuhan untuk syarikat Malaysia di luar negara.

“Pembiayaan kami sebanyak US$19.97 juta mencerminkan keyakinan kami terhadap keupayaan GTC dan komitmen kami untuk memupuk perkongsian jangka panjang yang sejajar dengan agenda eksport Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi GTC dan CEO RTB Group, Amirul Baharom memberitahu perkongsian itu memperkukuh komitmen GTC untuk menambah baik infrastruktur telekomunikasi Kemboja, dengan tujuan merapatkan jurang ketersambungan, khususnya di kawasan luar bandar.

“Dengan memanfaatkan kerjasama ini, kami bukan sahaja akan meningkatkan kesalinghubungan tetapi juga mengukuhkan kedudukan GTC sebagai pemain utama dalam sektor ini . Kami yakin inisiatif ini akan menyumbang secara positif kepada pertumbuhan sosio ekonomi Kemboja,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan