KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- CelcomDigi kekal komited terhadap kemampanan industri dan memacu transformasi negara menuju masyarakat digital yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) 5G.
Dalam kenyataan hari ini, katanya ia akan terus memfokuskan kepada pengintegrasian gabungan untuk merealisasikan sasaran penjimatan dan sinergi serta kekal menawarkan pengalaman terbaik kepada pelanggan.
“Pengintegrasian rangkaian kami kini lengkap pada 68 peratus, dan 65 peratus pelanggan kami meraih manfaat daripada pengalaman yang lebih baik dalam rangkaian pintar CelcomDigi baharu, lebih awal berbanding jadual,” kata pengendali rangkaian mudah alih itu.
Sementara itu, CelcomDigi berkata pengumuman kerajaan mengenai pemilihan pengendali rangkaian mudah alih yang akan melaksanakan rangkaian 5G kedua Malaysia tidak akan memberi kesan kepada pelanggan 5G CelcomDigi.
“Kami akan terus memberikan pilihan dan nilai terbaik dalam perkhidmatan kesalinghubungan dan pengalaman terbaik kepada pelanggan iaitu pengguna dan perusahaan di Malaysia menerusi rangkaian, produk dan perkhidmatan serta platform digital kami,” katanya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru-baru ini mengumumkan pemilihan U Mobile Sdn Bhd untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua negara selepas menjalankan penilaian teknikal dan komersial yang terperinci.
CelcomDigi berkata menjadi keutamaannya adalah memastikan pelanggan mempunyai akses mampu milik terhadap rangkaian 5G yang berdaya saing, teguh dan cekap.
"Kami akan berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam mempertimbangkan beberapa pilihan berdaya maju untuk memanfaatkan pelanggan dan pemegang saham," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial