EKONOMI > BERITA

TIGA PRINSIP ASAS PACU PERANAN KEWANGAN ISLAM LONJAK EKONOMI - BNM

05/11/2024 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kewangan Islam berpotensi besar dalam usaha melonjakkan ekonomi menerusi tiga prinsip asas - Maqasid Syariah, inovasi dan integrasi global, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata prinsip-prinsip itu meletakkan Maqasid Syariah dalam pembaharuan ekonomi dan kemampanan, memajukan inovasi bagi penyelesaian berasaskan nilai selain meningkatkan integrasi global untuk pembangunan serta kemakmuran bersama.

Bersandarkan kepentingan itu, beliau memuji industri kewangan Islam Malaysia yang disifatkan berjaya melangkah ke hadapan lebih setengah dekad lepas dengan menggunapakai Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI).

“Pelaksanaan VBI yang lebih kukuh memerlukan usaha bersepadu dan penjajaran holistik merentasi semua pihak berkepentingan utama.

“Ini terutamanya (aspek) pengawasan pemegang saham yang penting dalam memastikan impak transformatif kewangan berasaskan nilai itu dapat dilihat serta dirasai secara meluas,” katanya ketika berucap pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2024 ke-19 (KLIFF 2024) di sini, hari ini.

Acara itu berperanan sebagai platform bertukar pandangan, wacana dan penyelesaian berdasarkan pengetahuan dan pengalaman selain menjangkau kalangan pemimpin kewangan Islam di rantau Asia Pasifik.

KLIFF 2024 menampilkan agenda seperti Forum Utama KLIFF ke-19 yang berlangsung hari ini hingga esok serta Forum Syariah KLIFF ke-17 atau Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam 2024 pada 7 Nov, 2024.

Menjelaskan selanjutnya, Abdul Rasheed menegaskan kepentingan industri kewangan untuk meneroka pelbagai kontrak serta instrumen Syariah bagi memacu inovasi kewangan selain menangani cabaran dunia sebenar.

Beliau berkata kewangan gabungan dapat mengembangkan lagi akses kewangan untuk mereka serta segmen yang kurang mendapat perkhidmatan itu selain memanfaatkan modal kewangan sosial seperti zakat dan wakaf.

Menyedari prospek teknologi dan pendigitalan yang terus berkembang, beliau berkata BNM akan menyokong inovasi kewangan dengan melaksanakan pendekatan berasaskan kegiatan serta pengawalseliaan sewajarnya.

“Industri perlu mengambil kesempatan daripada peluang memaksimumkan kepelbagaian aplikasi kontrak Syariah dengan memanfaatkan penerbitan Pelaksanaan Draf Pendedahan Ta'awun Secara Meluas dan Kertas Perundingan Rangka Kerja Kontrak Syariah.

“Penggunaan mekanisme ini secara optimum adalah penting dalam memajukan inovasi berasaskan nilai,” katanya.

Menyentuh Belanjawan 2025, Abdul Rasheed berkata peruntukan RM100 juta bagi dana padanan untuk struktur perkongsian risiko turut mencerminkan komitmen kukuh kerajaan bagi memupuk inovasi kewangan.

“Saya menggesa industri untuk merebut peluang berinovasi dengan menawarkan produk perkongsian risiko, terutama dalam membiayai inisiatif iklim dan keterjaminan makanan,” katanya.

Beliau berkata ini ditambah pula dengan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 yang menumpukan usaha meningkatkan kerjasama serantau untuk menyokong agenda kemampanan negara-negara ASEAN dan mengetengahkan peluang pertumbuhan baharu untuk penyepaduan kewangan Islam dengan perubahan iklim dan inisiatif kewangan peralihan.

Bagi integrasi global, Abdul Rasheed berkata kepesatan perkembangan pasaran kewangan Islam global turut menarik peningkatan bilangan pelabur antarabangsa selain memacu pertumbuhan ekonomi merentasi pelbagai wilayah, termasuk pasaran seperti Filipina, Asia Tengah dan Asia Utara.

Langkah sedemikian, katanya, membolehkan pemain kewangan Islam mengembangkan jejak dan jangkauan global mereka, menggalakkan pelaburan dan kerjasama rentas sempadan yang lebih besar.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan