KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menangani landskap cukai yang berkembang, mengoptimumkan prestasi kewangan mereka dan memperoleh kelebihan daya saing dengan memanfaatkan secara strategik langkah yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2025 untuk sektor itu.
Ketua School of Accounting and Finance Taylor’s University Malaysia Prof Dr Nor Shaipah Abdul Wahab berkata mereka harus menilai kesan cukai jualan dan perkhidmatan yang diperluaskan, dengan mengenal pasti perkhidmatan dan barangan tidak penting yang akan terjejas, melaraskan strategi harga dan mengemas kini sistem perakaunan.
“Melantik penasihat cukai juga boleh membantu PKS dalam menilai potensi kesan ke atas aliran tunai dan membangunkan strategi untuk pengurangan.
“PKS juga harus sentiasa memaklumkan sesi maklum balas bersama pihak berkepentingan untuk menyuarakan kebimbangan dan mendapatkan kejelasan mengenai butiran pelaksanaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Belanjawan 2025 berkaitan sektor PKS.
Selain itu, sektor berkenaan juga diharap dapat mengenal pasti peranan wanita yang memasuki semula tenaga kerja dan menilai pengaturan kerja yang fleksibel untuk golongan ini bagi menggalakkan keterangkuman tenaga kerja.
Bagi mengimbangi peningkatan perbelanjaan gaji dan meringankan cabaran kewangan, Nor Shaipah mencadangkan agar PKS memanfaatkan insentif cukai yang ada, mengenal pasti potongan cukai yang berkaitan untuk pembinaan kapasiti dan perolehan perisian, serta berunding dengan penasihat cukai untuk memaksimumkan insentif ini sambil mengekalkan kemampanan kewangan.
“Memohon elaun cukai melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk panduan dan memastikan semua permohonan dihantar tepat pada masanya dapat membantu PKS memaksimumkan manfaatnya,” katanya.
Untuk meminimumkan kesan cukai dua peratus ke atas pendapatan dividen individu melebihi RM100,000 daripada penilaian 2025, beliau mencadangkan agar PKS menyemak dasar pengagihan dividen mereka dan berunding dengan penasihat cukai untuk memahami implikasi cukai ini.
“Potensi strategi pengurangan mungkin termasuk melaraskan jadual pembayaran dividen, meneroka bentuk alternatif pulangan pemegang saham, atau melabur semula keuntungan ke dalam perniagaan, katanya.
Mengenai pengenalan potongan cukai berganda untuk perbelanjaan di bawah Inisiatif Ketahanan Rantaian Bekalan, Nor Shaipah berkata PKS harus mengenal pasti dan mendokumenkan semua perbelanjaan yang layak, terutamanya pelaburan yang bertujuan untuk meningkatkan rantaian bekalan tempatan dan bekerjasama dengan perusahaan multinasional.
"Melibatkan diri dengan badan kawal selia industri dan mengetahui keperluan inisiatif itu boleh membantu PKS memaksimumkan faedah," kata ahli akademik itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial