Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Syarikat pengangkutan terkemuka Eropah, Bolt telah melancarkan perkhidmatan e-panggilannya di Lembah Klang, bertujuan untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat dalam mobiliti bersama, yang akan memberi perkhidmatan kepada 11.47 juta pengguna menjelang 2029.
Pengurus Besar Bolt Malaysia Afzan Lutfi berkata kepesatan pengembangan Lembah Klang, dengan pembandaran serta keperluan pengangkutan yang semakin meningkat, menawarkan landskap yang ideal bagi Bolt untuk membantu mengalihkan pergantungan daripada kereta persendirian kepada penyelesaian mobiliti bersama.
“Kami melihat potensi yang sangat besar di sini, bukan sahaja untuk memberi perkhidmatan kepada penumpang tetapi turut mencipta peluang ekonomi yang bermakna kepada pemandu sambil menyumbang ke arah masa depan yang lebih hijau dengan mengurangkan kebergantungan kepada kereta persendirian,” katanya kepada Bernama.
Afzan menekankan komitmen Bolt ke Lembah Klang, dengan rancangan untuk menyelaraskan dengan corak perjalanan masyarakat dan meneroka pengembangan masa depan ke bandar-bandar Malaysia yang lain.
“Seiring dengan pengembangan dan perincian operasi kami, menjangkau ke pusat bandar lain pastinya berada dalam fokus kami,” tambahnya.
Bolt menyasarkan untuk menjadi lebih daripada sekadar perkhidmatan e-panggilan, ia juga komited untuk memberikan impak positif dan jangka panjang di bandar-bandar Malaysia.
“Kami bermatlamat untuk mentakrifkan semula mobiliti bandar dengan menyediakan alternatif yang berpatutan selain akses kepada pemilikan kereta, yang boleh membantu mengurangkan kesesakan dan melonjakkan kualiti hidup rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Sejak 2013, Bolt telah berjaya bersaing dengan pemain tempatan dan mendapat kepercayaan masyarakat setempat.
Hari ini, syarikat yang bernilai 7.4 bilion euro itu telah memberi perkhidmatan kepada 200 juta pelanggan di 600 bandar di seluruh dunia, melalui perkhidmatan pengangkutan, mikromobiliti dan penghantaran, mencerminkan potensi pertumbuhan kukuh dalam pasaran.
Dalam perkembangan lain, Afzan menjelaskan syarikat tersebut telah memperkenalkan kadar komisen dihadkan sebanyak 15 peratus pada pelancaran, yang diterima baik oleh pemandu sebagai alternatif yang saksama kepada bayaran perkhidmatan yang tinggi dan turun naik di samping menjalankan kempen yang disasarkan bagi menambah pendapatan pemandu, termasuk menawarkan bonus ringgit untuk setiap perjalanan.
Bolt turut melancarkan kempen diskaun sebanyak 50 peratus untuk menarik penumpang baharu.
Bolt dilesenkan sepenuhnya sebagai pengendali e-panggilan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat dan mematuhi semua keperluan kawal selia.
Setiap rakan kongsi pemandu memiliki lesen kenderaan perkhidmatan awam yang sah dan permit kenderaan e-panggilan serta telah menjalani proses pemeriksaan menyeluruh termasuk pemeriksaan latar belakang, pengesahan foto dan pengesahan swafoto masa nyata untuk tahap kebertanggungjawaban tertinggi.
Afzan menekankan bahawa keselamatan adalah keutamaan utama di Bolt, dan syarikat itu komited untuk mewujudkan persekitaran yang selamat merangkumi penumpang serta pemandu.
“Bagi menyokong keselamatan masa nyata, ciri perkongsian lokasi kami membolehkan penumpang serta pemandu berkongsi status perjalanan mereka dengan kenalan yang dipercayai. Ciri pemeriksaan tunggangan juga berfungsi jika kenderaan kekal statik terlalu lama, mendorong pengguna mengesahkan status keselamatan mereka atau mengakses pilihan kecemasan jika perlu,” jelasnya.
Aplikasi Bolt direka bentuk dengan maklum balas langsung daripada pemandu, menawarkan pengalaman mesra pemandu yang merangkumi penerimaan tunggangan manual dan tetapan radius pengambilan yang boleh disesuaikan.
“Untuk mengawasi tunggangan, jika perjalanan melencong dari laluan atau berhenti tanpa sebab, pasukan kami akan berwaspada dan segera menyemak dengan pemandu serta penumpang,” tambahnya.
Pada 28 Okt, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa undang-undang baharu untuk melindungi pekerja ekonomi gig akan diperkenalkan dan dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia semasa sidang Dewan Rakyat sekarang.
Undang-undang yang dicadangkan itu bertujuan untuk mewujudkan jaringan keselamatan ke atas pekerja gig, meliputi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial dan peruntukan kos perubatan.
Mengulas mengenai perundangan yang dicadangkan, Afzan memberi jaminan bahawa Bolt telah pun mematuhi semua peraturan buruh setiap negara merentas 50 pasaran lain termasuk Malaysia.
“Kami sedang menyemak perundangan khusus bagi memastikan dasar kami sejajar dengan itu,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial