BERITA TERGEMPAR   PM Anwar Ibrahim tiba di Great Hall of People bagi kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping | 
 SUKAN > BERITA

WATAK IBU BAWA TUAH BUAT JING XUEN RANGKUL PIALA YARIS

07/11/2024 09:07 PM

KUALA LUMPUR ,7 Nov (Bernama) --Watak dan inspirasi ibu membawa tuah kepada pemain golf wanita remaja Ng Jing Xuen selepas meraih gelaran kedua Jelajah Toyota 2024 apabila merangkul Piala Yaris dengan catatan cemerlang tujuh bawah 206 di The Mines Resort & Golf Club, Seri Kembangan, dekat sini, hari ini.

Pemain berusia 16 tahun yang juga juara Sukan SEA 2023 ini mengaitkan kejayaan luar biasa itu dengan ibunya Dorris Yew Chee Yee yang bertindak sebagai kedi sepanjang kejohanan tiga pusingan itu.

Dorris, yang tidak pernah bermain golf sebelum ini, memberi kesan menenangkan kepada Jing Xuen apabila dia berjaya menang dengan kelebihan empat pukulan ke atas naib juara Winnie Ng (tiga bawah 210).

Tempat ketiga disandang seorang lagi pemain amatur Wang Xin Yao dengan catatan tiga atas 214.

Jing Xuen, yang merancang untuk menjadi pemain profesional tahun hadapan, berjaya melakarkan birdie di lubang ketiga, keenam dan ke-12, namun usaha itu terjejas oleh bogey di lubang kesembilan, keenam dan ke-18 untuk melengkapkan hari ini dengan par-71.

Pada pusingan pertama, beliau merakamkan catatan 66, diikuti 69 semalam.

“Saya ingin berterima kasih kepada ibu... Ini sebenarnya kali kedua dia menjadi kedi untuk saya. Kali pertama semasa saya memenangi Piala Vios (pada Mei di Templer Park Country Club, Rawang).

"Biasanya ayah (Steven Ng Seong Hoi) menjadi kedi, tetapi dia mempunyai harapan yang tinggi. Jadi ibu dan ayah bertukar peranan.

“Saya lebih rapat dengan ibu dan kami sering berseloroh di lapangan, itu membuatkan saya kurang tertekan,” katanya kepada wartawan selepas mengakhiri pusingan sebelum hujan ribut melanda lapangan.

Jing Xuen mula bermain golf pada usia sembilan tahun atas nasihat ayahnya, seorang pemain golf sosial.

Beliau berkata tahun ini merupakan tahun yang membanggakan sejak memenangi gelaran Sukan SEA pada Mei tahun lalu meskipun berdepan banyak cabaran.

Sementara itu, pemain veteran Danny Chia merangkul gelaran lelaki dengan skor tiga hari tujuh bawah 206, mengatasi pendahulu pusingan pertama Muhammad Afif Mohd Fathi dengan kelebihan dua pukulan.

Pemain berusia 51 tahun itu menamatkan pusingan terakhir dengan empat bawah 67 selepas mencatatkan 69 dan 70 pada pusingan sebelumnya manakala Muhammad Afif, 23, menamatkan dengan satu atas 72 selepas mencatatkan 66 dan 70 sebelum ini.

"Banyak pengalaman dan beraksi dalam banyak kejohanan membantu dan dapat mengawal diri lebih baik berbanding pemain lain,” kata Chia yang membawa pulang hadiah wang tunai RM51,500.

Muhammad Afif selaku naib juara menerima hadiah wang tunai RM20,700.

Jelajah Toyota 2024 dijadualkan akan berakhir dengan Kejuaraan Jelajah Toyota, sebuah acara Jelajah Pembangunan Asia (ADT) yang akan berlangsung di Kelab Golf & Country Kota Permai dari 20 hingga 23 Nov ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan