EKONOMI > BERITA

SEBARANG BENTUK PERLINDUNGAN AKAN JEJASKAN PERDAGANGAN, PELABURAN - PM ANWAR

12/11/2024 11:05 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Sebarang bentuk perlindungan akan menjejaskan negara-negara dari segi perdagangan dan pelaburan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada Richard Quest menerusi wawancara di CNN baru-baru ini, beliau berkata sebagai contoh, sebilangan besar mikrocip buatan Malaysia dieksport ke Amerika Syarikat (AS), yang membentuk 26 peratus.

“Sama ada kami menyertai BRICS atau tidak, dasar perlindungan akan memberi kesan kepada kami. Maksud saya, sebilangan besar mikrocip dan semikonduktor dieksport ke AS dan sudah pasti (sebarang langkah perlindungan) akan menjejaskan kami,” kata beliau dalam klip wawancara yang dimuat naik di akaun Quest menerusi platform X, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menjawab pertanyaan sama ada kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Presiden AS pada Khamis lepas, yang mungkin membawa kepada pengenalan dasar perlindungan pada masa hadapan, boleh menjejaskan Malaysia.

Trump sekali lagi memenangi pilihan raya itu, selepas menjadi Presiden AS ke-45 bagi tempoh 2017 hingga 2021.

Menurut laporan berita baru-baru ini, janji yang diberikan oleh Presiden AS itu untuk mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua barangan import telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengeluar di seluruh dunia.

Sementara itu, mengenai BRICS, Anwar mengulangi bahawa kepentingan Malaysia dalam organisasi antara kerajaan itu, sebahagian besarnya adalah dalam hubungan ekonomi dan perdagangan susulan potensinya yang besar dengan Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan.

“Kami telah mendapat manfaat yang amat besar daripada kerjasama dengan AS dan Eropah, dan kini China sedang berkembang, justeru dengan BRICS, kami membuka lebih banyak peluang untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan,” kata beliau.

Pada 24 Okt, 2024, Malaysia secara rasmi diiktiraf sebagai negara rakan BRICS, bersama dengan 12 negara lain iaitu Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan, dan Vietnam.

BRICS, yang pada mulanya terdiri daripada Brazil, Rusia, India, dan China, ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk kalangan ekonomi yang sedang pesat membangun.

Afrika Selatan menyertai organisasi itu pada 2010, dan BRICS  kemudian berkembang dengan merangkumi Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu.

BRICS mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global dan menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul sebanyak US$26.6 trilion (US$1=RM4.43) atau 26.2 peratus kepada KDNK global, hampir setara dengan kekuatan ekonomi negara-negara Group of Seven (G7).

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan