EKONOMI > BERITA

DUA TAHUN KERAJAAN MADANI: MENUKAR CABARAN KEPADA PENCAPAIAN

21/11/2024 06:14 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Dalam tempoh hanya dua tahun mentadbir negara, kerajaan MADANI telah mencapai titik perubahan penting dalam pembaharuan ekonomi Malaysia, selain langkah menangani ketidakcekapan entiti milik kerajaan, membina asas ekonomi yang berdaya tahan pada tahun pertama pentadbirannya.

Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggandakan usaha ke arah disiplin fiskal, mengurangkan ketirisan, menambah baik kutipan cukai, meningkatkan kecekapan kerajaan dan mempertingkat ketelusan. 

Melalui usaha ini, kerajaan MADANI telah meletakkan asas untuk masa depan yang lebih saksama bagi Malaysia, yang sewajarnya mendapat pengiktirafan.

Walaupun wujud cabaran, tumpuan kerajaan terhadap pertumbuhan inklusif telah meletakkan Malaysia untuk kestabilan dan kemajuan yang berterusan pada tahun-tahun akan datang.

Bersempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dari 22 hingga 24 November ini, kerajaan telah menyediakan inisiatif untuk mempamerkan testimoni dan pencapaian kementerian dan agensi untuk dikongsi bersama rakyat.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dijangka merasmikan program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia pada 23 November.

 

Kekuatan Politik Di Sebalik Pembaharuan Fiskal 

 

Perdana Menteri telah memainkan peranan penting dalam beberapa pembaharuan ekonomi untuk menjadikan negara berdaya maju dan meletakkannya di landasan pertumbuhan, selain memperkasakan prinsip ‘tatakelola’ beliau untuk memastikan kecekapan dan integriti sejak memegang jawatan tersebut pada akhir 2022.

Walaupun pembaharuan ini mungkin sukar dalam jangka masa pendek, ia adalah perlu untuk kedudukan ekonomi jangka panjang Malaysia, yang termasuk pembaharuan subsidi dan langkah-langkah baharu untuk meningkatkan hasil seperti perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta penguatkuasaan cukai keuntungan modal dan cukai barangan bernilai rendah.

Penambahbaikan kepada SST, berkuat kuasa 1 Mac lepas, yang membolehkan pertumbuhan hasil tanpa mengganggu impak ekonominya, dijangka raih hasil tambahan RM3 bilion.

Penambahbaikan SST yang akan berkuat kuasa 1 Mei 2025, dijangka membantu menjana hasil tambahan sebanyak RM5 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan kepada RM51.7 bilion tahun depan.

Sementara itu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata impak rasionalisasi subsidi diesel adalah positif, dengan data awal menunjukkan langkah itu menjana penjimatan sebanyak RM600 juta sebulan.

Beliau berkata penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan berjaya mengelak ketirisan bahan api itu bernilai lebih RM250 juta dalam tempoh sebulan sejak dilaksanakan 10 Jun lepas.

Walaupun langkah itu mewujudkan perdebatan hangat, kadar inflasi negara kekal terkawal susulan langkah bantuan kerajaan yang berterusan.

Kerajaan kini sedang mengkaji untuk merasionalisasikan subsidi RON95, menekankan keperluan kepada pembaharuan fiskal di negara ini berdasarkan komitmen di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal untuk memenuhi sasaran defisit fiskal menjelang 2028.

Bagi mencapai matlamat ini, kerajaan telah melancarkan Hab Pangkalan Data Pusat (PADU) di bawah Menteri Ekonomi Rafizi Ramli untuk membantu mengenal pasti mereka yang memerlukan sokongan kewangan dan memastikan subsidi diagihkan dengan tepat, selain membolehkan kerajaan menambah baik penggubalan dasar dalam mengukuhkan dinamik sosioekonomi dan merapatkan jurang pendapatan.

 

Daripada Kerenah Birokrasi Kepada Kecekapan: Menangani Birokrasi dan Pertindihan

 

Pada akhir 2023, Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) telah ditubuhkan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang diterajui oleh menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Pusat ini berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dan pelabur, mempercepat pelbagai proses kelulusan serta mengurangkan kerenah birokrasi.

Menurut Tengku Zafrul, pada suku pertama 2024, pusat ini telah menyelesaikan 81 peratus daripada 464 kes yang dilaporkan, mempercepat realisasi pelaburan yang diumumkan.

Berdasarkan komitmen kementerian untuk mewujudkan persekitaran mesra pelaburan dan perniagaan yang mendorong transformasi industri dan pertumbuhan ekonomi, pelaburan diluluskan pada tahun ini berpotensi melebihi pelaburan diluluskan pada 2023 berjumlah RM329.5 bilion, katanya.

Beliau berkata dasar yang jelas seperti Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) menempatkan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri semikonduktor dan pusat data yang sedang berkembang pesat, menarik pelabur di tengah-tengah kemajuan yang ketara dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, Kementerian Digital ditubuhkan pada 2023 untuk menerajui transformasi digital Malaysia, diketuai oleh menterinya Gobind Singh Deo.

Usaha bagi mempercepat penerimagunaan AI dipacu oleh inisiatif seperti Pelan Hala Tuju AI Malaysia 2021-2025 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Kerajaan juga sedang melaksanakan penggabungan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Halal Development Corporation (HDC) untuk memperkukuh kepimpinan dan daya saing Malaysia dalam pasaran halal global, yang dijangka mencecah US$5 trilion menjelang 2030, sekali gus mengurangkan peranan yang bertindih.

 

Pertumbuhan Ekonomi Malaysia di Landasan Baik, Ringgit Beri Petunjuk Berdaya Tahan

 

Dari segi pertumbuhan ekonomi, Anwar yakin bahawa negara berada di landasan yang baik berdasarkan kadar pertumbuhan 5.3 peratus pada suku ketiga 2024.

Beliau berkata prestasi kukuh ini mencerminkan keyakinan perniagaan dan pengguna terhadap pengurusan ekonomi kerajaan.

“Malaysia kini berada di landasan kukuh serta berkemampuan untuk melabuhkan tirai 2024 dengan kadar pertumbuhan memberangsangkan apakala kita giat menggerakkan agenda reformasi ekonomi bagi meningkatkan tahap kerencaman dan martabat ekonomi,” kata beliau dalam kenyataan baru-baru ini.

Anwar menjangka Malaysia muncul antara 30 ekonomi terbaik dunia dalam tempoh sedekad, meningkat daripada kedudukan ke-37 pada 2022 berdasarkan data Bank Dunia dan menyasarkan negara berada dalam kalangan 12 teratas bagi Indeks Daya Saing Global di samping mencapai kemampanan fiskal.

Sementara itu, ringgit turut mempamerkan daya tahan, disokong oleh keyakinan pelabur terhadap agenda pembaharuan Malaysia dan peralihan dalam Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) ke arah dasar monetari yang lebih akomodatif.

Baru-baru ini, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata ringgit mengukuh 14.9 peratus berbanding dolar AS pada suku ketiga, dan seterusnya  3.1 peratus setakat 13 November lepas.

Malaysia turut digugurkan daripada senarai pemantauan manipulasi mata wang AS sekali gus mengesahkan status ringgit yang dipacu pasaran.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan