EKONOMI > BERITA

SYARIKAT JERMAN DI MALAYSIA YAKIN STABIL, EKONOMI DIJANGKA POSITIF 2025 - MGCC

13/11/2024 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Syarikat Jerman di Malaysia yakin dengan prospek perniagaan masing-masing untuk 2025 yang mencerminkan sentimen positif mengenai situasi semasa dan prospek masa hadapan, menurut tinjauan AHK World Business Outlook Fall 2024.

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Jerman (MGCC) dalam satu kenyataan hari ini berkata tinjauan yang dijalankan AHK Malaysia seperti dikenali di Jerman dengan penyertaan 111 ahli dari MGCC, menyerlahkan pandangan utama iaitu mencerminkan daya tahan serta jangkaan pertumbuhan perniagaan Jerman yang beroperasi di Malaysia.

"Secara keseluruhannya, hasil tinjauan ini menggambarkan keyakinan kukuh dalam kalangan syarikat di Malaysia selain menonjolkan trajektori positif untuk pembangunan perniagaan dan pertumbuhan ekonomi pada tahun akan datang," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MGCC Jan Noether berkata syarikat Jerman di Malaysia berasa selesa dan komited terhadap pasaran di negara ini dengan prospek yang jelas untuk kejayaan serta pengembangan berterusan pada tahun hadapan.

"Sentimen kukuh dan keyakinan yang dicerminkan dalam tinjauan itu menyerlahkan situasi positif yang kami alami di sini dan menekankan keyakinan kami terhadap kestabilan ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia.

"Selain itu, persekitaran ekonomi Malaysia dan dasar sokongan yang stabil memainkan peranan penting dalam merangsang pelaburan selanjutnya serta mengukuhkan kepercayaan kami di negara ini sebagai hab yang boleh dipercayai selain mampu menarik pertumbuhan perniagaan," katanya.

Menurut tinjauan yang dijalankan, sebanyak 92 peratus perniagaan Jerman di Malaysia melaporkan keadaan sebagai "baik atau memuaskan" yang menandakan peningkatan ketara sebanyak 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Dalam pada itu, kata MGCC, pembangunan ekonomi yang kukuh dan keyakinan dalam perniagaan Jerman di Malaysia dijangka berterusan sehingga tahun depan dengan 97 peratus responden menyifatkan prospek 2025 sebagai menggalakkan atau stabil.

“Walaupun Malaysia sentiasa diiktiraf kerana asas ekonominya yang kukuh, keputusan tahun ini menunjukkan peningkatan keyakinan yang ketara, mengatasi jangkaan daripada tinjauan tahun lepas dan menonjolkan ekonomi Malaysia yang mempunyai daya tahan berterusan.

"Mencerminkan keyakinan ini, lebih 63 peratus syarikat menjangkakan perkembangan perniagaan positif dalam tempoh 12 bulan akan datang manakala 35 peratus lagi menjangkakan kestabilan semasa akan dikekalkan," kata pertubuhan itu.

 Menurut MGCC, hanya 1.8 peratus mengunjurkan penurunan dalam prestasi perniagaan selain kebanyakannya mempamerkan tinjauan yang positif untuk tahun hadapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan