EKONOMI > BERITA

ALLIANCE BANK UMUM 13 FINALIS TERBAIK UNTUK 2024 BIZSMART CHALLENGE ACCELERATOR EDITION

13/11/2024 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd (Alliance Bank) mengumumkan 13 finalis terbaik untuk program 2024 BizSmart Challenge Accelerator Edition yang dipilih daripada 593 pemohon.

Menurut bank itu dalam satu kenyataan hari ini, finalis berkenaan dipilih melalui proses penapisan yang ketat melibatkan empat hari program pecutan dan latihan perniagaan, dua hari pembentangan perniagaan serta satu hari pembentangan ringkas.

Katanya, program tersebut menandakan ulang tahun ke-10 bagi BizSmart Challenge yang berkembang daripada platform untuk pertumbuhan keusahawanan kepada program pecutan untuk bakat yang akan menentukan industri masing-masing.

"Sebagai peneraju dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Alliance Bank menggalakkan sektor berkenaan dengan mempelopori BizSmart Challenge pertama pada tahun 2013 bagi memupuk kemajuan dan pembangunan PKS yang sedang berkembang.

"Selain itu, pihak bank ingin mengenal pasti bintang-bintang yang sedang meningkat selain dapat memberi ganjaran kepada usahawan-usahawan Malaysia yang pesat membangun," kata bank itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank Kellee Kam berkata para peserta telah sampai ke peringkat akhir selepas berbulan-bulan mengasah bakat pembentangan mereka, mengukuhkan cerita perniagaan dan kewangan serta menerima bimbingan daripada pemodal teroka terkemuka.

"Kami sangat teruja untuk mempersembahkan finalis tahun ini yang mempunyai semangat keusahawanan dan inovasi mereka, ia benar-benar memberi inspirasi," katanya.

Peserta peringkat akhir ialah Asia Farms Network; Aenon Solutions; BioLoop; Carching; Flybear; Fubizo; Gula Cakery; Mindhive; Sin Boon Kee; Ventamin; Volt Motorsports; Xin Seng Fatt dan Zoey Food Supply.

Dalam pada itu, Alliance Bank berkata pihaknya juga menghasilkan filem panjang yang merakamkan cerita dan kemajuan BizSmart Challenge Accelerator Edition.

Filem ini yang mendokumentasikan perjalanan finalis BizSmart Challenge, dijadualkan untuk tayangan perdana pada 27 Nov, 2024 di Aurum Theatre, The Exchange TRX di sini dengan tayangan persendirian untuk tetamu akan memperlihatkan perjalanan finalis dan pemenang BizSmart Challenge Accelerator Edition.

“Alliance Bank BizSmart Challenge juga bersedia untuk menyediakan pencapaian seterusnya serta mengumumkan pemenang pada akhir November 2024,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan