KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Scientex Bhd (Scientex), Scientex Quatari Sdn Bhd bercadang mewujudkan Program Sukuk Wakalah apabila ia akan menerbitkan nota jangka sederhana Islam berbilang mata wang sehingga RM1.5 bilion dalam nilai nominal.
Scientex dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata syarikat telah menyerahkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenai semua maklumat yang diperlukan serta dokumen yang berkaitan Program Sukuk Wakalah mengikut Garis Panduan Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai di bawah Rangka Kerja Serah dan Simpan.
Menurut Scientex, Program Sukuk Wakalah memberikan fleksibiliti kepada Scientex Quatari untuk menerbitkan Sukuk Wakalah Lestari dan Sukuk Wakalah Berkait Lestari.
Katanya, setiap nota yang akan diterbitkan mempunyai tempoh lebih daripada satu tahun.
Hasil daripada terbitan Sukuk Wakalah itu akan digunakan untuk tujuan patuh syariah termasuk kewangan dan membayar balik perbelanjaan modal, pelaburan, tujuan am korporat serta keperluan modal kerja.
Ia juga akan digunakan untuk membiayai semula pembiayaan sedia ada dan akan datang serta untuk membiayai terlebih dahulu baki minimum yang diperlukan dalam akaun rizab perkhidmatan kewangan.
Scientex berkata, RHB Investment Bank Bhd akan bertindak sebagai penasihat utama, pengatur utama, pengurus utama dan ejen fasiliti untuk Program Sukuk Wakalah manakala RHB Islamic Bank Bhd ialah penasihat shariah bagi Program Sukuk Wakalah tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial