EKONOMI > BERITA

MAA UNJUR JUALAN KENDERAAN MALAYSIA NAIK KEPADA 800,000 UNIT PADA 2024

14/11/2024 02:12 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengunjurkan jumlah keseluruhan industri (TIV) 2024 bagi kenderaan bermotor pada 800,000 unit, meningkat 35,000 unit atau 4.57 peratus daripada anggaran sebelumnya sebanyak 765,000 unit.

Presiden MAA Mohd Shamsor Mohd Zain berkata industri menyaksikan prospek yang positif untuk bulan-bulan akan datang dipacu oleh promosi-promosi berterusan daripada syarikat pengeluar kereta.

“Mencapai sasaran awal 765,000 unit tidak sepatutnya menjadi masalah. Malah, saya menjangkakan angka lebih tinggi sedikit mencecah 800,000 unit. Unjuran awal 765,000 unit dibuat sekitar Mei atau Julai apabila kami menjangkakan penurunan momentum.

“Bagaimanapun, kami tidak mengambil kira tempahan tertunda sepenuhnya, terutama bagi model-model tertentu daripada pengeluar kereta nasional,” katanya pada sidang media semasa pelancaran media Pertunjukan Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIMS 2024) hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shamsor berkata TIV 2025 masih belum dibincangkan.

“Kami belum berbincang (TIV 2025) dengan ahli-ahli kami. Seperti biasa, pengumuman rasmi akan dibuat pada Januari 2025,” tambahnya.

KLIMS 2024 yang dianjurkan oleh MAA, bersedia untuk mempamerkan trend utama yang membentuk masa depan industri automotif.

Edisi ke-10 acara itu akan berlangsung dari 5 hingga 11 Dis, 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan