Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, Nov 15 (Bernama) -- Langkah Amerika Syarikat (AS) menggugurkan Malaysia daripada senarai pemantauan perbendaharaannya membuktikan dasar ekonomi dan dan pertukaran asing semasa negara ini dilihat sebagai seimbang dan telus, kata ahli ekonomi.
Senarai itu mengandungi rakan dagang utama AS yang disifatkan oleh negara maju itu sebagai mengamalkan serta mempunyai dasar makroekonomi yang perlu diberi perhatian khusus.
Ketua Penyelidik Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata perubahan itu itu juga menunjukkan Malaysia tidak lagi memenuhi kriteria bagi pemantauan teliti, sekali gus mengesahkan komitmen terhadap pengurusan dasar yang lancar dan seiring dengan norma-norma antarabangsa.
“Walaupun penyenaraian dalam senarai pemantuan itu bukanlah negatif, ini membabitkan penelitian mendalam, risiko reputasi dan tekanan diplomatik yang boleh menghalang pelaburan asing selain memberi kesan terhadap hubungan perdagangan.
“Pengguguran daripada senarai berkenaan hanya membuktikan kekukuhan Malaysia sebagai ekonomi boleh dipercayai serta stabil dan boleh meningkatkan keyakinan pelabur selain mengukuhkan hubungan ekonomi dengan AS serta negara utama lain," katanya kepada Bernama.
Terdapat tiga kriteria yang membolehkan sesebuah negara dimasukkan dalam senarai pemantauan iaitu mempunyai lebihan dagangan dua hala dengan AS bernilai sekurang-kurangnya US$15 bilion (US$1 = RM4.48), lebihan akaun semasa material sekurang-kurangnya 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan intervensi sebelah pihak dalam pasaran mata wang asing bagi tempoh sekurang-kurangnya lapan bulan dalam setahun dan dengan pembelian bersih berjumlah sekurang-kurangnya 2.0 peratus daripada KDNK selama 12 bulan.
Mohd Sedek berkata pengguguran itu juga menyuntik peluang unik untuk Malaysia dari segi keupayaan mengukuhkan lagi imej sebagai sebuah rakan dagang yang telus dan boleh memberi kerjasama.
“Menerusi usaha menggalakkan pelarasan dengan piawaian AS baru-baru ini, Malaysia dapat mengurangkan kebimbangan mengenai amalan perdagangan tidak adil dan memudah cara dialog perdagangan yang konstruktif,” katanya.
Bagi memanfaatkan peluang itu, Mohd Sedek menyarankan agar Malaysia mengekalkan dasar ekonomi mampan selain menyasarkan aspek perdagangan lebih mampan dan imbangan akaun semasa.
“Kita dapat menegakkan ketelusan dalam operasi pertukaran asing. Walaupun ketelusan penting dan dapat meningkatkan imej Malaysia, ini turut mendedahkan negara kepada potensi jangkauan keterlaluan oleh kuasa asing dan sebaliknya memerlukan pendekatan yang seimbang.
"Malaysia juga perlu mengehadkan intervensi pertukaran mata wang. Ini penting bagi menangani gangguan pasaran sebenar walaupun pada masa sama Malaysia perlu mengekalkan fleksibiliti dalam memberi tindak balas sewaktu ketidaktentuan ekonomi," katanya.
Mohd Sedek juga menyifatkan tindakan mengeluarkan Malaysia daripada senarai pemantauan berkenaan sebagai paparan akaun semasa dan imbangan perdagangannya yang seiring dengan penanda aras Perbendaharaan AS dan pendekatan kukuh terhadap dasar ekonomi.
“Bagaimanapun, adalah penting untuk mengakui bahawa usaha mengekalkan status sedemikian merupakan satu proses yang berterusan; anjakan ekonomi yang biarpun kecil, berisiko untuk menyebabkan negara menjadi sasaran pemantauan semula.
“Realiti meletakkan negara-negara ini dalam senarai pemantauan itu juga memaparkan risiko reputasi dan dasar yang memerlukan Malaysia mengemudi strategi fiskal dan monetarinya dengan lebih teliti,” katanya.
Selain itu, beliau berkata autonomi dasar Malaysia boleh dikompromi jika negara ini menerima pakai amalan yang terlalu berhati-hati bagi mengelak dimasukkan semula dalam senarai pemantauan berkenaan.
“Sehubungan itu, kerajaan memerlukan pertumbuhan ekonomi yang seimbang. Walaupun kestabilan itu penting, Malaysia perlu mengelak daripada melaksanakan polisi konservatif yang keterlaluan dan boleh menjejaskan kelebihan yang ada.
“Kita memerlukan diplomasi yang proaktif. Usaha diplomatik Malaysia dengan AS dan negara utama lain perlu menumpukan aspek membentuk perjanjian perdagangan yang menjamin pertumbuhan bersama dan pada masa sama dapat menjadi penampan daripada pengaruh AS yang keterlaluan. Oleh itu, penglibatan Malaysia dalam dialog ekonomi adalah sesuatu yang penting,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial