EKONOMI > BERITA

BNM: PROJEK MEGA DIJANGKA TERUS SOKONG PERTUMBUHAN EKONOMI MALAYSIA PADA 2025

15/11/2024 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Meskipun tiada pembangunan projek mega diumumkan pada Belanjawan 2025, namun projek mega yang sedang berjalan dilihat akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun depan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata kerajaan menarik pelaburan berjumlah RM330 bilion ke dalam negara pada 2023 dan RM160 bilion pada separuh pertama 2024, yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2025.

"Ini memberikan impak yang baik, apabila kita melihat pelaburan masuk ke bidang berkualiti tinggi, mewujudkan aktiviti nilai tambah tinggi dan pekerjaan berpendapatan tinggi," katanya semasa sidang akhbar mengenai data keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga 2024 bersama Jabatan Perangkaan di sini hari ini.

Abdul Rasheed dalam pada itu berkata pelaburan yang masuk itu juga menyokong pengukuhan pendapatan domestik yang akan meningkatkan kekompleksan ekonomi.

Prospek pertumbuhan Malaysia juga dilihat cerah, disokong oleh asas kukuh dan dorongan pertumbuhannya, katanya.

 Ini termasuk peningkatan kadar pekerjaan dan langkah untuk meningkatkan pendapatan termasuk pelaksanaan dasar gaji minimum.

"Dari segi eksport, Malaysia masih lagi bergantung kepada rantaian bekalan dan nilai global, termasuk elektrik dan elektronik (E&E) serta bukan E&E," kata Abdul Rasheed.

Negara ini juga mendapat mendapat manfaat daripada pertumbuhan teknologi global, manakala perbelanjaan pelancong juga telah meningkat melebihi tahap sebelum pandemik.

Selain itu, Malaysia juga telah melaksanakan langkah-langkah yang berkaitan seperti reformasi fiskal dan pasaran buruh yang akan menyumbang kepada pengukuhan asas negara, katanya.

 

Kesan kemenangan Trump sebagai Presiden kepada ekonomi Malaysia

 

Berhubung kemenangan Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat, Malaysia mengambil langkah tunggu dan lihat corak pentadbiran pada penggal keduanya.

"Kita perlu melihat dengan lebih jelas dasar-dasar yang akan dilaksanakan, barulah kita akan dapat membuat penilaian. Kita tidak akan membuat spekulasi pada ketika ini," katanya.

Beliau berkata ketika pentadbiran Trump antara 2017 dan 2021, ekonomi Malaysia adalah stabil pada ketika itu, malah antara 2017 dan 2019, kadar KDNK meningkat sebanyak 10 peratus dan eksport naik kira-kira 8.0 peratus.

Ringgit juga meningkat kira-kira 8.0 peratus selepas mencatatkan prestasi turun naik pada awalnya. Jadi, kita boleh menjangkakan keadaan yang sama juga berlaku seperti sebelum ini, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan