KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- UEM Sunrise Bhd telah mendapat kelulusan daripada Development WA, agensi pembangunan dan tanah kerajaan negeri Australia Barat untuk projek kediaman bercampur-campur Subiaco East di Perth.
Pemaju hartanah itu melalui satu kenyataan hari ini menjelaskan projek itu yang terletak di tapak berkeluasan 0.49 hektar di The Oval, Subiaco East, Perth, merupakan pembangunan pertama yang diluluskan di bawah Pelan Induk Subiaco East, yang bertujuan untuk meningkatkan bekalan perumahan tempatan melalui penyelesaian kehidupan yang inovatif.
UEM Sunrise telah mendedikasikan 12 peratus unit kepada perumahan mampu milik, menyediakan penduduk masa depan termasuk pekerja kritikal tempatan, akses kepada rumah serta kehidupan bandar yang berkualiti.
Ketua Pegawai Eksekutif, Sufian Abdullah berkata projek itu bukan sahaja akan memberikan keunikan pengalaman UEM Sunrise ke Perth tetapi ianya juga membabitkan sokongan ke atas pasaran tempatan dengan menangani permintaan perumahan yang mendesak dan memupuk komuniti yang mampan, inklusif.
“Melalui pembangunan ini, kami mempamerkan kepakaran kami dalam inovasi, kualiti dan kecemerlangan reka bentuk di peringkat global,” katanya.
Pembangunan itu, ditetapkan agar mampu meraih penarafan lima bintang Green Star di bawah piawaian Green Star v1.0 terbaharu, menggariskan komitmennya terhadap kemampanan.
“Fasiliti berorientasikan komuniti yang merangkumi sokongan infrastruktur untuk acara di Heritage Gates Park, storan bagi kelab bola sepak tempatan di The Oval dan ruang runcit berkeluasan 400 meter persegi di tingkat bawah Lot 1, akan memperkayakan presint Subiaco Oval, meningkatkan lagi daya tarikan sebagai hab perhubungan dan kehidupan yang bertenaga.
“Dengan kawasan komunal yang disusun dengan teliti, pembangunan ini bersedia untuk memulakan pembinaan menjelang 2026, menawarkan persekitaran hidup yang mampan, berpaksikan komuniti di Perth,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial