EKONOMI > BERITA

AIRBUS HELICOPTERS SASAR PERTUMBUHAN DI MALAYSIA, RANTAU ASIA PASIFIK

19/11/2024 07:07 PM

SUBANG JAYA, 19 Nov (Bernama) -- Airbus Helicopters optimistik tentang pertumbuhannya di Malaysia dan rantau Asia Pasifik menjelang 2025, dipacu oleh meningkatnya permintaan dalam sektor awam dan ketenteraan terutamanya untuk perkhidmatan perubatan kecemasan (EMS).

Naib Presiden dan Ketua Jualan dan Pemasaran untuk Asia-Pasifik Thomas Zeman berkata Malaysia kini mengalami pertumbuhan yang merentas pelbagai sektor, dengan pelaburan yang besar tertumpu kepada pemodenan angkatan tentera, agensi-agensi keselamatan dan keupayaan untuk bertindak balas ketika kecemasan.

"Ini adalah trend yang kita lihat bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara lain di rantau ini," katanya pada taklimat media yang diadakan bersama demonstrasi eksklusif helikopter H160 Airbus hari ini.

Zeman menekankan yang EMS menjadi faktor utama dalam pembangunan ekonomi di rantau ini, terutamanya di negara yang mempunyai industri pelancongan yang semakin berkembang, yang mana terdapat peningkatan dalam keperluan untuk perkhidmatan yang boleh dipercayai bagi menyediakan piawaian penjagaan kesihatan yang setanding kepada penduduk dan pelawat.

Di peringkat global, beliau melihat perubahan yang ketara ke arah memperkukuh pertahanan dan keselamatan, menjadikan penyepaduan teknologi canggih penting dalam rangka kerja strategik.

"Syarikat juga mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun yang stabil hampir tiga peratus dalam perniagaan helikopter di seluruh rantau ini, dengan pemacu pertumbuhan yang berbeza-beza dari satu negara ke negara lain.

“Di Malaysia sebagai contoh, pelaburan awam untuk memodenkan angkatan tentera dan kerajaan dijangka memacu permintaan,” katanya.

Memandang ke hadapan, beliau berkata Airbus Helicopters yakin dalam mencapai objektif globalnya untuk 2024 dan seterusnya ketika mengharungi cabaran yang pelbagai pada masa ini.

Zeman juga mengumumkan pelaburan besar di Malaysia merangkumi set simulator penerbangan penuh untuk digunakan pada 2026 bagi mengukuhkan keupayaan serantau syarikat dan memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan di Asia Tenggara.

Berkenaan dengan helikopter H160, beliau berkata model enjin berkembar itu direka untuk memenuhi keperluan sektor komersial dan swasta yang semakin meningkat, mencerminkan komitmen Airbus Helicopters dalam mengembangkan jejaknya di Asia Tenggara.

"H160 yang terkenal dengan ciri-ciri canggih dan serba boleh, bersedia untuk menguasai potensi pasaran yang ketara di Malaysia dan Asia Tenggara ketika permintaan untuk helikopter persendirian dan perniagaan meningkat semula dengan kukuh," katanya.

Helikopter itu menggunakan bahan api yang lebih rendah, berupaya menggunakan sehingga 50 peratus campuran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF), kabin yang selesa dan keterlihatan kokpit yang sangat baik bagi menjadikannya sesuai untuk pelbagai misi.

“Dengan pengurangan penggunaan bahan api sebanyak 18 peratus dan pengurangan bunyi yang dirasai sebanyak 50 peratus, H160 membolehkan pelanggan mengambil langkah ke arah mengurangkan jejak karbon mereka,” tambah Zeman.

Pada 11 Dis, 2023, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah memberikan sijil pengiktirafan kepada helikopter Airbus H160 enjin berkembar generasi seterusnya yang membuka jalan untuk menembusi pasaran Malaysia.

Pada masa ini, hanya satu H160 sedang berkhidmat di Malaysia, dengan unit kedua dijangka turut berkhidmat menjelang tahun depan. Di peringkat global, lebih 30 helikopter H160 beroperasi untuk pelbagai misi di 13 negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan