EKONOMI > BERITA

MALAYSIA CATAT PRESTASI TERBAIK PASARAN EKUITI ASIA TENGGARA PADA 2024 - DELOITTE

19/11/2024 07:04 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Malaysia mencatat prestasi terbaik dalam pasaran ekuiti Asia Tenggara, berbanding rakan serantau bagi tempoh 10 bulan setengah tahun ini, menurut firma perkhidmatan profesional global, Deloitte.

Rakan Khidmat Nasihat Transaksi  Deloitte Malaysia Wong Kar Choon berkata prestasi yang kukuh itu disokong oleh petunjuk ekonomi yang positif, kestabilan politik serta sokongan daripada pelabur aktif terutamanya pelabur asing.

Beliau berkata bursa tempatan mendahului di rantau ini terutamanya dalam tiga metrik utama iaitu bilangan tawaran awam permulaan (IPO), jumlah keseluruhan dana yang dikumpul daripada IPO dan permodalan pasaran IPO.

"Bursa Malaysia berpotensi besar menjadi destinasi penyenaraian bagi syarikat serantau, berikutan terdapat peningkatan minat terhadap IPO oleh syarikat dan pelabur serta penilaian mengagumkan yang dicapai Malaysia," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Setakat ini, IPO Malaysia mengumpul sebanyak US$1.5 bilion (US$1=RM4.465), tertinggi sejak 2017, kata Wong.

Permodalan pasaran pula mencapai US$6.6 bilion, peningkatan lebih dua kali ganda berbanding tahun lepas dan tertinggi dicatatkan sejak 2013, mencatatkan prestasi IPO Malaysia terbaik sejak 2012.

Wong berkata sektor pengguna dan sektor produk perindustrian masing-masing menyumbang 16 dan 17 IPO, dengan mengumpul dana masing-masing berjumlah US$0.8 bilion dan US$0.2 bilion, manakala sektor sumber tenaga, mengumpul US$0.2 bilion daripada empat IPO.

Sebanyak 46 penyenaraian dicatatkan pada 2024 setakat ini, tertinggi sejak 2006 dan meningkat daripada 32 penyenaraian sepanjang 2023, katanya.

Beliau berkata prospek ekonomi Malaysia yang positif, disokong oleh kerajaan yang stabil dan dasar yang kukuh dijangka mengukuhkan pasaran modal.

“Selain itu, ekosistem pasaran modal yang dinamik, yang diserlahkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia, menggalakkan proses kelulusan yang lebih cepat untuk IPO,” kata Wong.

Faktor ini juga meningkatkan kerancakan Bursa Malaysia, menyaksikan kadar lebihan langganan yang menggalakkan lebih daripada 200 kali ganda.

Mengenai prospek IPO Malaysia, Wong mengunjurkan lebih 30 syarikat bakal disenaraikan pada 2025, disokong oleh keyakinan terhadap keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia yang dijangka tumbuh antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus tahun depan. 

Bilangan draf prospektus menjelang akhir tahun ini akan lebih tinggi berbanding tahun lepas, menunjukkan urus niaga pasaran modal yang kukuh mungkin berlaku tahun depan, katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Deloitte berkata Pasaran ACE Malaysia terus mendominasi IPO tahun ini dengan 34 penyenaraian, yang merupakan jumlah tertinggi direkodkan sejak penubuhan Pasaran ACE pada 2009.

Secara keseluruhan, ketiga-tiga pasaran Malaysia mengatasi prestasi tahun sebelumnya, kata firma itu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan