EKONOMI > BERITA

LABUAN CONNECT! 2024 SERLAH POTENSI USAHAWAN LABUAN

23/11/2024 07:42 PM

LABUAN, 23 Nov (Bernama) -- Semangat keusahawanan di Wilayah Persekutuan Labuan terus pesat berkembang apabila perniagaan makanan tempatan semakin mendapat sambutan, didorong oleh sokongan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Tiga usahawan tempatan, Elinawati Kalik, 40, Santi Awang, 37, dan Shirley Dorina Anak Anthony, 46, membuktikan semangat daya tahan dan inovasi ini apabila mengetengahkan jenama masing-masing di acara yang julung kali diadakan - Labuan Connect! 2024 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Kampung Patau-Patau 1, hari ini.

Acara bertujuan memperkasakan usahawan tempatan, turut menonjolkan lima teras utama NADI: keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran dan inisiatif kerajaan.

Usahawan terbabit turut berkongsi penghargaan terhadap NADI di atas peranan bagi meningkatkan jangkauan pasaran serta membina jaringan yang berkualiti.

 

Elinawati Kalik - Keunikan Colek Buah Kak Ely

Bersandarkan perniagaan colek buah-buahan campurannya pada 2021 di bawah jenama Colek Buah Kak Ely, Elinawati menjadi antara penyumbang dalam kerancakan perniagaan makanan di Labuan. 

Keunikannya adalah sajian buah-buahan yang dibalut secara kreatif dan menarik ramai pelanggan setia.

"Bimbingan dan sokongan NADI amat penting. Saya belajar cara pembungkusan produk dengan lebih baik dan meneroka pemasaran digital yang telah meningkatkan jualan," katanya kepada Bernama hari ini.

Elinawati kini menyasarkan untuk melebarkan sayap perniagaannya ke Sabah dan Sarawak dengan memanfaatkan strategi pemasaran menerusi bimbingan NADI.

 

Santi Awang - Kerepek Pisang Tembusi Pasaran Global

Di bawah jenama Kerepek Pisang Santiawang, wanita gigih Santi memulakan perniagaan pada 2012, didorong oleh minatnya untuk menjadikan pisang sebagai snek serba boleh.

Usahanya ternyata tidak sia-sia apabila kerepek itu bukan sahaja mendapat sambutan di pasaran tempatan malah di Brunei, Singapura dan Jepun.

“Tidak mudah untuk menembusi pasaran antarabangsa, tetapi program NADI mendidik saya mengenai cara menangani keperluan eksport dan pembungkusan yang mampan,” katanya.

Kini rangkaian kerepeknya mempunyai pelbagai perisa termasuk manis, telur masin, keju dan pelbagai lagi selain menyasarkan untuk menggunapakai amalan mesra dalam proses pengeluarannya.

 

Shirley Dorina: Kek, Pastri Sentuhan Artisan

Shirley Dorina membuka perniagaan Cleys Homemade pada 2022 yang menumpukan kek dan pastri artisan yang diilhamkan oleh minat mendalamnya sajian manisan pencuci mulut.

Bermula di Labuan, jenamanya terus berkembang dengan menjangkau pelanggan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Hasil tangannya termasuk kek lapis dan brownies, telah mendapat sambutan berikutan keupayannya menyuntik cita rasa moden dalam resipi tradisional.

"NADI berperanan penting dalam mengajar kami aspek penjenamaan dan berkongsi kisah kami melalui produk. Ia bukan mengenai usaha memasak tetapi bagaimana dapat berhubung dengan pelanggan," kata Shirley.

Susulan peningkatan permintaan, beliau kini meninjau platform e-dagang dan merancang untuk membuka studio di Labuan bagi memberi tunjuk ajar kepada yang berminat mempelajari pembuatan pastri.

 

Platform Pamer Produk, Jalin Jaringan

Sementara itu, acara Labuan Connect! 2024 selama sehari itu menjadi platform untuk kalangan usahawan tempatan mempamerkan produk, menjalin jaaringan serta menimba ilmu daripada pakar.

Inisiatif MCMC itu turut memaparkan komitmen serta kesungguhan kerajaan dalam memupuk semangat keusahawanan di Labuan dengan menjadi penghubung peniaga tempatan dan pasaran antarabangsa.

Dalam usaha mereka melonjakkan perniagaan masing-masing, kisah kejayaan usahawan ini turut menyerlahkan potensi industri makanan di Labuan.

"Ini hanya permulaan. Menerusi bimbingan dan inovasi yang konsisten, kami percaya jenama-jenama ini akan berada dalam isi rumah di seluruh Malaysia dan melangkaui sempadan," kata Shirley.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan