Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 24 Nov (Bernama) -- Labuan Connect! 2024 yang didakan buat julung kalinya mengetengahkan usahawan tempatan di bawah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sekali gus menyediakan platform untuk mempamerkan produk kepada khalayak yang lebih meluas.
Program sehari yang diadakan di Kampung Patau-Patau 1 di sini semalam berlangsung meriah dengan menarik ribuan pengunjung tempatan dan menyajikan pelbagai peluang pertumbuhan kepada usahawan.
Abdul Razak Alimin, 33, adalah antara usahawan yang merebut peluang itu dengan memanfaatkan kepakaran kreatifnya menjadi sebuah perniagaan.
Menerusi jenama Victorian Revival yang memfokuskan kepada barangan dan pakaian serta penghasilan lukisan seni bina di bawah jenama Local Sqetch, siswazah bidang seni bina itu menyifatkan Labuan Connect! sebagai peluang keemasan untuk beliau mempromosikan produk kepada pasaran berpotensi.
“Kami perlu berterima kasih kepada NADI yang telah memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk menyerlah menerusi pelbagai platform dalam talian.
“Bagaimanapun, usaha untuk terus meningkatkan kualiti produk kami adalah penting agar kekal berdaya saing,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Memulakan perniagaannya pada 2016 dengan modal tidak melebihi RM1,000, kini Abdul Razak menguruskan kedainya di Kompleks Labuan Financial Park.
Selepas menyertai NADI pada 2021, beliau mengakui peranan penting program itu dalam mengembangkan jangkauan pasarannya.
Sementara itu, Anna Habir, 27, yang menghasilkan barang kemas buatan tangan menerusi jenama Thrice.co berkongsi hasratnya untuk mempunyai kios kekal.
Beliau yang menghasilkan rantai leher, gelang tangan, gelang kaki dan kerongsang yang diperbuat daripada keluli tidak mudah karat, mutiara, dan bersadur emas 18k, memulakan perniagaan semasa pandemik COVID-19, seterusnya meraih manfaat dengan sokongan NADI.
“Produk saya telah berada di pasaran tempatan sejak 2021...dan menyertai NADI tahun ini amat penting dalam membawa perniagaan saya kepada dalam talian terutama menerusi Instagram. Saya boleh meraih kira-kira RM2,000 dalam program seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Fatima Nurulhidayu Mohd Hashim, 20, yang menghasilkan barang kemas buatan tangan turut menekankan mengenai kepentingan Labuan Connect! dalam membina rangkaian dan mempamerkan produknya.
“Saya menyertai karnival di pulau ini pada setiap tahun dan boleh memperoleh pendapatan empat angka dalam tempoh satu atau dua hari sahaja…Labuan Connect! adalah satu lagi program bermanfaat kepada usahawan tempatan,” katanya.
Program yang bertujuan memperkasa usahawan tempatan, turut menonjolkan lima teras utama NADI iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran dan inisiatif kerajaan.
Dengan memfokuskan kepada pembangunan komuniti, Labuan Connect! menekankan kepentingan untuk menyokong bakat tempatan dan menggalakkan keusahawanan mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial