KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Pharmaniaga Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM101.03 juta pada suku ketiga berakhir 30 September, 2024 daripada kerugian bersih RM49.34 juta dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas.
Hasil meningkat 16.3 peratus kepada RM1.03 bilion pada suku ketiga daripada RM885.49 juta sebelumnya, kebanyakannya didorong oleh peningkatan permintaan dalam segmen konsesi.
“Permintaan yang meningkat dalam segmen konsesi adalah disebabkan penambahan produk baharu kepada senarai harga produk diluluskan dan pelarasan harga di bawah kitaran konsesi baharu berikutan peningkatan kos pembekal ditambah dengan pembalikan caj penalti daripada kerajaan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat farmaseutikal itu berkata hasil lebih tinggi itu turut disumbangkan oleh peningkatan permintaan pelanggan dalam segmen Indonesia, disebabkan lonjakan pesanan daripada prinsipal sedia ada dan jualan tambahan dijana daripada pembukaan dua cawangan baharu pada Februari 2024.
Bagaimanapun, Pharmaniaga berkata pertumbuhan itu sebahagiannya diimbangi oleh penurunan dalam hasil dalam segmen bukan konsesi yang terjejas oleh penyiapan bekalan produk darah.
Untuk sembilan bulan berakhir 30 September, 2024, kumpulan itu mencatatkan hasil RM2.8 bilion, mewakili peningkatan 8.4 peratus daripada RM2.6 bilion dicatatkan dalam tempoh sama setahun sebelumnya.
Dari segi prospek, Pharmaniaga kekal berada pada kedudukan baik untuk pertumbuhan, disokong oleh prestasi berdaya tahan dalam segmen konsesi, kemajuan ketara dalam biofarmaseutikal dan pengembangan strategik di Indonesia.
Kumpulan itu juga bercadang untuk melancarkan tujuh produk molekul kecil baharu pada 2025 merentasi bidang terapeutik utama iaitu anti-jangkitan, saluran pencernaan dan metabolisme serta kardiovaskular dengan unjuran pendapatan tambahan sebanyak RM30 juta setahun.
“Dengan inisiatif strategik ini dan tumpuan khusus terhadap kecemerlangan operasi, Pharmaniaga dijangka berprestasi kukuh pada 2024 dan prospek cerah untuk 2025,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial