KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia berkata peralihan ke arah ekonomi hijau, di samping mengatasi cabaran perubahan iklim membawa kepada peningkatan kos, atau 'greenflation', yang menjejaskan kalangan perniagaan dan pengguna dengan ketara.
Susulan itu bank pusat berkenaan berkata 'greenflation' yang didorong oleh peningkatan kos berikutan penerimagunaan amalan dan teknologi mampan kini dipantau dengan teliti.
"Apabila berlaku peralihan dalam perniagaan dan inisiatif hijau dilaksanakan kos yang berkaitan sering ditanggung oleh pengguna.
"Bagaimanapun, kerajaan di seluruh dunia menyediakan insentif bagi mengurangkan beban kos yang ditanggung oleh perniagaan, dan kami sedang mencari pendekatan yang serupa bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya pada Bengkel Kemampanan Media Malaysia di Sasana Kijang di sini hari ini.
BNM berkata kekurangan data yang komprehensif kekal menjadi cabaran dalam menilai pendedahan sektor kewangan terhadap risiko iklim dan ia sedang berusaha untuk merapatkan jurang data bagi memberikan pandangan yang lebih jelas terhadap risiko tersebut.
"Kami sedang mengumpul dan menganalisis data bagi memahami bagaimana risiko iklim memberi impak kepada institusi kewangan, termasuk implikasi peristiwa banjir kepada keluaran dalam negara kasar dan kewangan," katanya.
Kesan risiko iklim terhadap sektor kewangan
Mengulas kebimbangan terhadap sektor kewangan, BNM berkata walaupun kemajuan ketara telah dicapai dalam membiayai inisiatif hijau, namun pengambilannya kekal perlahan, terutamanya dalam kalangan PKS.
“Separuh daripada pembiayaan baharu oleh institusi kewangan ditujukan kepada aktiviti sokongan iklim atau penghijauan, tetapi segmen PKS lebih perlahan disebabkan tekanan pemulihan selepas Covid-19,” katanya.
Bagi menggalakkan penyertaan yang lebih besar, BNM menekankan kepentingan institusi kewangan bekerjasama dengan pelanggan untuk menyokong perjalanan penyahkarbonan mereka.
"Kami menggesa institusi kewangan untuk berbincang dengan perniagaan bagi melakarkan laluan peralihan mereka berbanding menarik balik sokongan, yang boleh menyebabkan kesan ekonomi dan sosial yang teruk," katanya.
Risiko banjir dan implikasi kepada ekonomi
Seterusnya BNM berkata risiko banjir kekal menjadi kebimbangan utama, apabila satu kajian menunjukkan bahawa kegagalan mengambil langkah penyesuaian lebih awal boleh mengakibatkan kerugian keluaran dalam negara kasar (KDNK) sehingga empat peratus semasa banjir besar menjelang 2030.
Berbanding jika mengambil langkah pencegahan lebih awal kerugian boleh dikurangkan kepada dua peratus, katanya.
"Terdapat peningkatan juga dalam pengambilan perlindungan insurans banjir dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya susulan cuaca yang melampau baru-baru ini.
"Walaupun perlindungan berkaitan banjir masih merupakan produk khusus, kesedaran semakin meningkat apabila orang ramai menyedari kepentingan perlindungan ini," katanya.
Peluang yang muncul dalam mengharungi cabaran
Di sebalik cabaran yang timbul akibat 'greenflation' ini, BNM menegaskan bahawa peralihan hijau ini sebenarnya memberikan banyak peluang.
"Mengurangkan jejak karbon membuka peluang perdagangan baharu dan mengekalkan kerjasama sedia ada, kerana rakan perdagangan antarabangsa menuntut agar usaha kemampanan dibuktikan," katanya.
BNM berkata sektor kewangan memperuntukkan lebih RM240 bilion untuk aktiviti alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sehingga 2027 yang menegaskan komitmennya untuk menyokong inisiatif kemampanan.
“Peralihan ini melibatkan kos, tetapi tidak melakukan apa-apa bukan satu pilihan kerana ekonomi hijau juga menawarkan peluang untuk pertumbuhan dalam pasaran dan teknologi baharu,” kata bank pusat itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial