EKONOMI > BERITA

ASIA DIGITAL ENGINEERING SASAR PASARAN AS - CEO MAHESH

04/12/2024 04:34 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram & Mikhail Raj Abdullah

SEPANG, 4 Dis (Bernama) -- Asia Digital Engineering (ADE) menyasar untuk mengembangkan jejak antarabangsa dengan rancangan memberi perkhidmatan kepada syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh terdekat, sementara menunggu kelulusan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

ADE, cabang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) Capital A, telah mendapat kelulusan untuk memberi perkhidmatan kepada syarikat penerbangan Eropah.

Pada masa sama ADE juga bertapak kukuh di lapan pasaran serantau termasuk pasaran terbesarnya, Malaysia, untuk menservis pesawat komersial milik syarikat sekutunya, AirAsia.

Ketua Pegawai Eksekutif Mahesh Kumar berkata proses pengauditan sedang dijalankan sebagai sebahagian daripada langkah yang diperlukan untuk memenuhi syarat FAA.

Langkah itu menekankan komitmen ADE untuk mengembangkan jejak antarabangsa dan meningkatkan keupayaan dalam pasaran MRO yang kompetitif, katanya kepada Bernama baru-baru ini.

ADE baru-baru ini memperoleh pensijilan organisasi penyelenggaraan diluluskan (AMO) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Vietnam, yang membolehkan pihaknya mengembangkan lagi jejak.

Usaha itu sekali gus menambah senarai pelanggan antarabangsa dan serantau ADE.

Selain Vietnam, ADE kini memegang sijil AMO di lapan negara, iaitu Malaysia, Indonesia, Kemboja, Filipina, Singapura, Nepal, Thailand dan Myanmar.

“Susulan kelulusan daripada pelbagai negara di ASEAN, kini kami dapat menyediakan perkhidmatan kepada syarikat penerbangan di seluruh rantau ini, memberikan keyakinan bahawa perkhidmatan kami memenuhi standard keselamatan dan kualiti yang tinggi,” katanya.

Satu lagi pencapaian ADE adalah memperoleh kelulusan “Part 145” bagi organisasi penyelenggaraan daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) tahun lepas dan akan menyediakan perkhidmatan MRO kepada syarikat penerbangan Eropah tidak lama lagi.

Mahesh berkata jarak bukanlah masalah dalam industri MRO selagi ADE dapat menawarkan harga yang berpatutan, tempoh penyelenggaraan paling singkat dengan kualiti yang baik serta keselamatan operasi pesawat yang terjamin.

“Sehubungan itu, saya tidak melihat sebarang masalah untuk membawa syarikat penerbangan dari Eropah atau AS ke sini,” katanya.

Beliau optimistik dengan prospek syarikat pada tahun depan memandangkan pelanggan domestik, serantau dan antarabangsa semakin bertambah.

Keyakinan itu turut disokong oleh perkhidmatan yang canggih dan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap kualiti dan tempoh masa penyelenggaraan, yang semua itu akan mendorong pertumbuhan berterusan, katanya.

 

Prospek Industri MRO dan Pertumbuhan Masa Depan ADE

 

Beliau berkata secara keseluruhan, prospek industri MRO adalah cerah memandangkan perkembangan pesat industri penerbangan terutama dengan permintaan untuk servis pesawat terus mengatasi penawaran.

“Tiada syarikat MRO yang mengalami kekurangan urus niaga, melainkan ada isu lain,” katanya.

ADE memiliki kelebihan kerana industri penerbangan dan operasi MRO tidak berkadar langsung, yang bermaksud walaupun pesawat tidak terbang namun, aset itu masih perlu diservis, seperti kereta.

Mahesh berkata ADE telah menyelesaikan pemeriksaan C ke-100 dalam tempoh dua setengah tahun, menjadi satu rekod sejak ia ditubuhkan pada September 2020, susulan permintaan industri.

Pemeriksaan C dikenali sebagai pemeriksaan menyeluruh yang melibatkan prosedur penyelenggaraan ke atas komponen dan sistem pesawat yang penting.

Ia juga satu pemeriksaan penyelenggaraan komprehensif yang memastikan keselamatan operasi pesawat di samping memerlukan perkakasan yang banyak, peralatan ujian dan tahap kemahiran khas.

“Kami hampir mencapai 200 pemeriksaan C tidak lama lagi,” katanya.

Mahesh berkata ADE kini menumpukan usaha untuk mengembangkan kehadirannya di Filipina, Kemboja, Indonesia dan Thailand dan menservis lebih banyak pesawat bukan milik AirAsia.

ADE,diasaskan pada September 2020, menawarkan rangkaian servis pesawat yang menumpukan kumpulan pesawat Airbus A320, A321, A330 dan Boeing 737 untuk perkhidmatan penyelenggaraan kejuruteraan, perkhidmatan komponen dan gudang serta perkhidmatan sokongan kejuruteraan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan