EKONOMI > BERITA

GRAB, AWS BEKERJASAMA UNTUK PACU PERTUMBUHAN DAN KECEKAPAN OPERASI DI ASEAN

05/12/2024 12:51 PM

Daripada Anas Abu Hassan

LAS VEGAS, 4 Dis (Bernama) -- Amazon Web Services Inc (AWS) hari ini mengumumkan bahawa super app Asia Tenggara, Grab Holdings Inc telah memilih AWS sebagai penyedia awan pilihannya untuk meningkatkan kecekapan operasi merentasi lapan negara anggota ASEAN.

Dengan AWS, Grab sedang meneruskan strategi diterajui teknologi untuk mempercepatkan pertumbuhan merentas pergerakan, penghantaran dan perkhidmatan kewangan termasuk digibank baharunya, pada masa sama terus meningkatkan kecekapan operasinya dan mengurangkan kos infrastruktur teknologi maklumat (IT).

Ketua Pegawai Teknologi Grab, Suthen Thomas Paradatheth berkata strategi pertumbuhan syarikat bertumpu pada inovasi berterusan untuk mengatasi keperluan pengguna dan rakan kongsinya.

“Ini memerlukan eksperimen pantas, memastikan keselamatan dan kestabilan bersama-sama dengan keupayaan untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi terkini seperti kecerdasan buatan generatif (Gen-AI).

"Dengan memanfaatkan teknologi awan AWS yang berdaya tahan, selamat dan fleksibel, Grab mempercepatkan inovasi, melancarkan perkhidmatan baharu dengan pantas dan beroperasi dengan cekap di lapan negara iaitu Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam," katanya dalam satu kenyataan bersempena acara AWS re:Invent 2024, di sini pada Rabu.

Memandangkan Grab mahu mengimbangi pertumbuhan dengan disiplin kos, ia menggunakan AWS Cloud untuk menggerakkan sebahagian besar operasinya di Asia Tenggara melibatkan mobiliti, penghantaran dan perkhidmatan dan entiti kewangan termasuk digibank miliknya di Indonesia, Malaysia dan Singapura.

"Dengan menggunakan penyelesaian berasaskan awan AWS, Grab telah dapat memperoleh ketangkasan dan mengurangkan kos operasi," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan AWS ASEAN, Jeff Johnson berkata Grab mampu menyediakan urus niaga  dengan lancar kepada jutaan pengguna di seluruh rantau ini dengan memanfaatkan prestasi operasi AWS yang tiada tandingan, skalabiliti dan teknologi canggih.

"Sebagai penyedia awan terkemuka, AWS mempunyai kedudukan unik untuk membantu Grab mengoptimumkan prestasi harganya, meningkatkan kecekapan operasi dan terus mengembangkan perkhidmatan dikuasai datanya.

"Kami teruja untuk terus bekerjasama dengan Grab kerana ia mengemudi landskap dinamik e-dagang dan pembangunan superapp, memastikan ia kekal di barisan hadapan dalam inovasi dalam ekonomi digital," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan