Oleh Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Malaysia dapat memanfaatkan infrastruktur digitalnya yang matang serta tenaga kerja mahir untuk muncul sebagai titik tumpuan bagi ibu pejabat serantau syarikat multinasional (MNC) serta perkhidmatan dan pembuatan berkemahiran tinggi.
Pengarah Bersekutu firma penasihat strategik Bower Group Asia, Darryl Tan berkata Malaysia selaku pengerusi ASEAN pada 2025 selain setiap negara Asia Tenggara, mempunyai keunikan dalam rantaian global yang boleh dimanfaatkan.
Beliau turut merujuk Singapura yang berperanan sebagai ibu pejabat serantau bagi banyak MNC manakala Malaysia menjadi hab perkhidmatan dan pembuatan berkemahiran tinggi untuk syarikat-syarikat berkenaan.
Indonesia dan Vietnam pula lebih menumpukan aspek pembuatan dalam rantaian nilai terbabit.
Selaku pengerusi ASEAN 2025, Tan turut menekankan sebahagian besar daripada strategi yang digariskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyokong visi bagi memanfaatkan kelebihan setiap negara anggota perkumpulan itu.
“Secara bersama, mereka dapat menjadikan ASEAN sebuah hab yang kompetitif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dalam program berita Bernama Global disiarkan pada 4 Dis, 2024 dan dikendalikan oleh hos Jessy Chahal yang bertajuk “Southeast Asia’s markets: Navigating Challenges and Opportunities in 2025.”
Ini termasuk penerimagunaan digital pada setiap peringkat rantaian bekalan, meningkatkan kerjasama pengawalseliaan dan hubungan logistik bagi melancarkan lagi transaksi barangan dan kepakaran rentas sempadan.
Tan berkata Putrajaya juga perlu memanfaatkan pelaburan besar dalam tenaga boleh baharu (TBB) dalam usaha menarik syarikat yang berhasrat menubuhkan kilang pembuatan alam sekitar yang mampan di rantau ini.
Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan untuk Malaysia mengambil peluang daripada pengalaman pengawalseliaan dan penggubalan dasar seperti dalam sektor digital dan tenaga serta berkongsi pengetahuan itu dalam usaha memupuk kawal selia lebih kukuh di seluruh rantau ini.
"Integrasi ekonomi lebih mendalam di rantau ini akan membolehkan ASEAN menjadi hab perniagaan di setiap peringkat rantaian bekalan," katanya.
Ditanya mengenai prospek ekonomi Malaysia, Tan berkata negara akan meraih manfaat daripada rangsangan teknologi secara keseluruhan berikutan “(peranan) kita sebagai pengeksport utama semikonduktor dan produk elektrik dan elektronik (E&E)."
Tan berkata pertumbuhan juga dijangka stabil pada tahun depan dengan ekonomi berkembang sebanyak 4.5-5.5 peratus, disokong oleh permintaan berterusan untuk barangan E&E susulan tindakan syarikat multinasional yang banyak melabur dalam teknologi baharu, terutama kecerdasan buatan (AI).
Faktor permintaan domestik yang berterusan akan turut menyumbang kepada kestabilan Malaysia.
Beliau berkata walaupun kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi seterusnya pada tahun depan, sebarang impak daripada peningkatan kos sara hidup akan diimbangi oleh inisiatif kerajaan, termasuk kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial