KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Produk pembungkusan terbiodegradasi daripada sisa jerami padi yang dihasilkan menerusi kerjasama antara Bioeconomy Corporation dan syarikat BioNexus, Free The Seed Sdn Bhd diunjur mencecah nilai pasaran RM60 juta mulai 2025.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Bioeconomy Corporation dalam kenyataan bersama hari ini berkata destinasi eksport utama itu merangkumi Jerman, Belanda, Jepun dan United Kingdom.
Dihasilkan di fasiliti syarikat Free The Seed di Gurun, Kedah, produk pembungkusan terbiodegradasi ini melalui pemprosesan sisa jerami padi menggunakan enzim bioteknologi.
Menteri MOSTI Chang Lih Kang berkata berikutan kerjasama antara Bioeconomy Corporation dan Free The Seed, pesawah dari kawasan ini dijangka menjana pendapatan tambahan RM3 juta setahun bermula 2025, menerusi penjualan sisa jerami padi.
“Setakat ini, seramai 618 pesawah telah menyertai projek ini, dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 3,700 pesawah apabila operasi penuh dimulakan pada 2025," katanya semasa lawatan kerja ke fasiliti syarikat itu.
Menurut kenyataan itu, ini membuktikan potensi besar bioteknologi dalam mengubah sisa jerami padi menjadi ‘emas hijau’, yang memainkan peranan penting dalam menjana pendapatan peladang dan mencipta peluang pekerjaan.
Selain itu, ia memacu ekonomi kitaran dan menyokong kelestarian alam sekitar, selari dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dan agenda pembangunan mampan negara, katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, tambahan kapasiti kerjasama ini dijangka mencapai pengeluaran sebanyak 120 juta unit produk pembungkusan terbiodegradasi setahun untuk pasaran perubatan, makanan, perindustrian dan elektronik.
"Melalui sesi libat urus industri serta akses kepada pihak berkepentingan dalam sektor awam dan swasta, Bioeconomy Corporation telah menyokong Free The Seed dalam mengembangkan pasaran mereka.
“Sokongan ini juga membantu Free The Seed meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang dalam sektor ini,” katanya dalam kenyataan sama.
Beliau berkata kerjasama ini turut membawa kepada pengembangan operasi yang berjaya mencipta penambahan sebanyak 120 peluang pekerjaan baharu, dengan 30 peratus daripadanya terdiri daripada pekerja berkemahiran latihan teknikal dan vokasional (TVET).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial