KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Cypark Resources Bhd dan Terengganu Inc Sdn Bhd menjalin kerjasama bagi membangunkan kemudahan solar terapung hibrid (HHFS) berkapasiti 500 megawatt (MW) di Tasik Kenyir, Terengganu.
Peneraju penyedia penyelesaian tenaga boleh baharu (TBB) dan cabang pelaburan strategik kerajaan negeri Terengganu itu telah memeterai pelan induk bagi mewujudkan usaha sama berkaitan hari ini.
TNB Power Generation Sdn Bhd akan melakukan kerja-kerja reka bentuk, pembinaan dan mengendalikan pengoperasian kemudahan itu yang turut memaparkan kepimpinan Malaysia dalam inovasi tenaga hijau.
Pengerusi Eksekutif Cypark Datuk Hamidah Moris berkata projek itu jelas memaparkan hasrat syarikat untuk memberi impak dengan membantu melonjakkan ekonomi kitaran yang seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya SDG7 yang merujuk tenaga yang mampu serta bersih selain SDG12 bagi penggunaan dan pengeluaran yang bertanggunjawab.
“Menerusi usaha menggabungkan kepakaran TBB Cypark serta visi strategik Terengganu Inc, kami telah mewujudkan pelan induk kukuh bagi kemajuan mampan.
“Bersandarkan keunikan ekosistem dan potensi besarnya, Tasik Kenyir merupakan lokasi ideal bagi inisiatif penting ini. Penyepaduan teknologi HHFS bukan setakat meningkatkan kecekapan tenaga, namun turut menetapkan penanda aras bagi penyelesaian TBB di rantau ini,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis pemeteraian kerjasama itu di sini, hari ini.
Hamidah juga menyifatkan penjanaan tenaga hidro yang digabungkan dengan permukaan air seluas 370 kilometer di Tasik Kenyir berpotensi besar bagi penjanaan dan penyimpanan tenaga, sekali gus menyokong sistem grid Malaysia.
Projek itu turut menyumbang dari segi peluang besar bagi pewujudan pekerjaan, terutama di kawasan yang memerlukan tenaga kerja mahir dan bagi jangka panjang, katanya.
Selain itu, projek berkenaan dijangka bermula pada 2025 dengan hidro hibrid dan teknologi fotovoltan solar terapung yang turut menjadi detik penting dalam peralihan Malaysia kepada TBB.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata inisiatif itu turut menekankan komitmen dalam memanfaatkan modal semula jadi Terengganu secara bertanggungjawab selain memacu pertumbuhan inklusif dan mampan untuk negeri itu serta Malaysia.
“Projek HHFS 500MW adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan akan memanfaatkan badan air Tasik Kenyir yang banyak bagi tujuan penjanaan tenaga bersih.
“Ini akan menjadi tapak tunggal terbesar di Malaysia yang menggabungkan pengeluaran tenaga solar, penyimpanan bateri serta membuka potensi badan air Malaysia yang luas," katanya.
Badan air merujuk kepada mana-mana akuifer, tasik, kolam, tanah bencah, perairan pantai, takungan (kecuali bagi tujuan pembekalan air) dan badan air lain sama ada semula jadi atau buatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial