KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Sektor kapal sokongan luar persisir (OSV) khususnya segmen kapal tongkang kerja penginapan (AWB), dijangka kekal positif berikutan bekalan kapal yang terhad akibat kurang pelaburan selama bertahun-tahun, kata Kenanga Investment Bank Bhd.
Kenanga dalam satu nota penyelidikan berkata pasaran OSV tempatan mendapat manfaat daripada struktur kaptif itu kerana dasar kabotaj mengehadkan kapal asing manakala peraturan Malaysia membenarkan kapal berusia sehingga 20 tahun untuk bidaan berbanding had usia 15 tahun sebelumnya, ia adalah faktor menyumbang kepada kekangan bekalan.
“Dengan purata umur kapal berusia 14 tahun, sektor ini menghampiri titik kritikal untuk memohon kelulusan dari pihak berkuasa berkaitan supaya dapat mengekalkan kecekapan operasi jangka panjang.
"Disebabkan permintaan kukuh, meletakkan sektor OSV untuk mencatatkan pertumbuhan berterusan dan kadar carter berdaya tahan," katanya.
Kenanga berkata jika permintaan berlanjutan untuk beberapa tahun akan datang, mungkin terdapat peningkatan permintaan untuk kapal baharu OSV.
Sementara itu, bank pelaburan itu melaporkan bahawa keputusan bagi sektor minyak dan gas (O&G) pada suku ketiga 2024 adalah bercampur-campur dengan 30 peratus syarikat melebihi jangkaan dan bahagian yang sama berprestasi rendah berbanding suku kedua 2024, 50 peratus syarikat melebihi jangkaan dan hanya 11 peratus gagal.
Ia berkata perkembangan makro yang lemah memberi kesan kepada peserta pertengahan hiliran manakala kaunter perkhidmatan huluan mengatasi prestasi margin keuntungan lebih kukuh daripada jangkaan, menggariskan daya tahan sektor huluan dalam keadaan ketidaktentuan makro global.
“Memandangkan 2025 semakin dekat, kami mengesyorkan pendekatan lebih selektif dalam ruang perkhidmatan huluan, memfokuskan pada sektor dipacu penyelenggaraan,” katanya.
Kenanga mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor O&G dengan penekanan sama diberikan kepada penyedia perkhidmatan huluan dan penggiat pertengahan berikutan prospek makro yang menggalakkan.
Kenanga berkata ia kekal optimistik mengenai pemain yang menumpukan penyelenggaraan seperti mereka dalam penyelenggaraan huluan dan AWB, memandangkan permintaan yang berdaya tahan dalam bidang tersebut.
"Selain itu, permintaan serantau dijangka meningkatkan aktiviti bagi penyedia perkhidmatan huluan dalam keadaan bekalan terhad," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial