KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Peralihan kepada amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan syarikat di Malaysia bukan sahaja didorong oleh peraturan tetapi juga kerana mereka tidak mahu kehilangan pembeli, pasaran eksport dan memenuhi keperluan bank untuk memberikan pinjaman kepada syarikat yang mematuhi ESG.
Desakan di peringkat global untuk industri dan syarikat menerima pakai ESG dalam operasi mereka, telah memberi impak kepada syarikat-syarikat besar secara berperingkat termasuk entiti yang tersenarai di Papan Utama dan meluas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Tahun ini, PKS dan banyak syarikat besar telah mengambil langkah untuk memastikan operasi kitaran perniagaan mereka menggabungkan rangka kerja ESG, yang akan meningkatkan profil Malaysia dalam memenuhi komitmen alam sekitarnya.
Kerajaan dan badan kawal selia turut proaktif dalam membantu memudah cara peralihan syarikat untuk menerima pakai standard dan amalan ESG.
Usaha ini sejajar dengan aspirasi Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara untuk menjadi peneraju serantau dalam kemampanan selain memastikan daya tahan ekonomi dalam jangka panjang dan memulihara alam sekitar.
Usaha dalam menggalakkan menerima pakai ESG
Di barisan hadapan ialah Bursa Malaysia yang telah memperkukuh peraturan dengan memerlukan syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama dan Pasaran ACE mendedahkan prestasi kemampanan mereka dalam tempoh yang ditetapkan.
Misalnya, pada awal tahun ini, bursa menggesa syarikat untuk menyepadukan perancangan ESG dalam laporan mereka untuk meningkatkan amalan kemampanan dan pendedahan penerbit tersenarai.
Bursa Malaysia juga menganggap perlu bagi penerbit yang disenaraikan di Pasaran Utama untuk merangkumi pendedahan berkaitan perubahan iklim sejajar dengan pasukan petugas mengenai Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim (TCFD) yang berkuat kuasa 31 Dis 2025.
Sementara itu, syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE kini perlu mendedahkan pelan asas untuk beralih kepada ekonomi rendah karbon berbanding pelaporan perubahan iklim yang akan bermula pada 31 Dis 2026.
Selain itu, peraturan penyenaraian Bursa akan mewajibkan pendedahan pelepasan skop 1, skop 2 dan skop 3 (sekurang-kurangnya untuk perjalanan perniagaan dan ulang-alik pekerja) bermula pada 2025 untuk syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama dan syarikat di Pasaran ACE menjelang 2027.
Skop 1, 2 dan 3 merujuk kepada pelepasan gas rumah hijau (GHG), pelepasan tidak langsung dan pelepasan kompleks daripada kenderaan dan mesin serta tenaga yang digunakan selain pelepasan daripada pembekal atau secara tidak langsung dalam rantaian nilai.
Kerajaan juga telah melancarkan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF) pada September, menyelaraskan pelaporan kemampanan Malaysia dengan standard global yang ditetapkan oleh Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB).
Komitmen kerajaan untuk membantu pemain industri meningkatkan ESG turut dapat dilihat melalui inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim; terdapat cukai dan insentif yang bertujuan menggalakkan penggunaan teknologi rendah karbon.
Pendapatan yang diraih akan digunakan untuk membiayai program penyelidikan dan teknologi hijau.
Berdasarkan Kesatuan Eropah (EU) melaksanakan mekanisme pelarasan sempadan karbon (CBAM) ke atas import, Malaysia sedang mempertimbangkan skim penetapan harga karbon untuk meningkatkan usaha pengurangan karbonnya dan mengurangkan impak daripada cukai karbon di rantau lain.
CBAM ialah tarif karbon yang dilaksanakan oleh EU, mengenakan caj ke atas barangan import berdasarkan pelepasan karbon semasa pengeluaran. Ia juga bertujuan menangani isu kebocoran karbon dan mengelak pengeluar daripada memindahkan pengeluaran ke negara-negara dengan standard yang kurang ketat.
Inisiatif lain termasuklah melanjutkan pemeteran tenaga bersih sehingga Jun 2025, melancarkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau 5.0 dan meningkatkan Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara kepada RM300 juta untuk 2025.
Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah mengambil langkah seterusnya dengan melancarkan laporan bertajuk ‘Penilaian Pendedahan ESG ke atas Syarikat Tersenarai Malaysia dan Cadangan Pembangunan Dasar’ dengan Bank Dunia.
Menurut SC, laporan ini bertujuan untuk memberi analisis terhadap keadaan semasa berkaitan pendedahan ESG dalam kalangan syarikat tersenarai dan pelabur institusi memandangkan kepentingan ESG dan pelaburan kemampanan yang semakin meningkat di peringkat global.
Ia juga menyediakan refleksi dan cadangan untuk penggubal dasar dalam pasaran modal Malaysia untuk menggalakkan pelaporan ESG yang lebih baik, memastikan ia kekal relevan dan konsisten di peringkat global.
Laporan bersama ini mencerminkan komitmen berterusan SC untuk memupuk pasaran modal yang lebih mampan.
Amalan pendedahan ESG yang lebih baik dijangka mengukuhkan keyakinan pelabur dan memastikan pasaran kekal berdaya saing dan bersedia untuk masa depan.
Penekanan yang meningkat terhadap menerima pakai ESG dijangka membentuk landskap perniagaan masa depan Malaysia.
Menerima pakai ESG dalam kalangan penggiat industri Telekomunikasi
Sehubungan itu, syarikat telekomunikasi Edotco Group Sdn Bhd telah mengukuhkan komitmennya untuk menggunakan tenaga boleh baharu sebagai sumber tenaga untuk gridnya.
Ia memaklumkan dalam temu bual baru-baru ini bahawa ia sedang giat meningkatkan jumlah pengguna tenaga boleh baharu dalam gridnya di Malaysia dan di seluruh rantau ini.
Walaupun menghadapi kekangan dalam merealisasikan matlamat ini, syarikat telekomunikasi tersebut tetap optimis untuk meningkatkan jumlah grid yang menggunakan tenaga boleh baharu pada masa depan dengan bantuan daripada kerajaan.
Dengan menggabungkan penyelesaian tenaga boleh baharu seperti tenaga solar dalam operasi menaranya, Edotco mengurangkan pelepasan karbonnya dan pada masa yang sama menyokong kemajuan digital Malaysia dengan cara yang mampan alam sekitar.
Industri Simen
Industri simen turut menunjukkan komitmennya untuk mengurangkan pelepasan karbon apabila Presiden Persekutuan Pengeluar Simen ASEAN Datuk Yeoh Soo Keng mengumumkan bahawa persatuan itu komited untuk mencari cara baharu bagi mengurangkan pelepasan karbon dan berusaha ke arah sasaran sifar bersih menjelang 2050.
Beliau berkata AFCM memberi keutamaan kepada kemampanan dan ahli-ahlinya secara aktif menggunakan teknologi rendah karbon serta meningkatkan kecekapan tenaga. Bagi mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050, dasar kerajaan yang menyokong dan insentif pelaburan hijau memainkan peranan penting.
Pengeluar simen di Malaysia telah melabur lebih RM200 juta dalam sistem kawalan pencemaran udara. Ini telah membawa kepada perubahan yang ketara dalam pelepasan dan kesan terhadap alam sekitar dalam industri simen.
Langkah ini menunjukkan pemain industri secara aktif menyumbang kepada pencapaian matlamat kerajaan untuk mencapai pelepasan GHG sifar bersih menjelang 2050, seperti yang digariskan dalam Perjanjian Paris.
Hartanah
Mengguna pakai rangka kerja ESG turut dilihat dalam segmen hartanah. Permintaan terhadap bangunan hijau di Malaysia dijangka meningkat dengan ketara dalam tahun-tahun akan datang, berpotensi mencapai kira-kira 10 juta kaki persegi setahun.
Ketua Penyelidikan dan Perundingan JLL Malaysia Yulia Nikulicheva, dilaporkan sebagai berkata pasaran bangunan hijau di Malaysia mencatatkan prestasi yang baik walaupun masih ketinggalan berbanding Singapura, yang mempunyai kadar ruang hijau yang lebih tinggi.
Prospek
Berdasarkan inisiatif tersebut, prospek untuk menerima pakai ESG dalam kalangan syarikat Malaysia pada tahun depan adalah optimis, disokong oleh inisiatif kerajaan dan badan pengawalseliaan untuk memenuhi pematuhan.
Syarikat-syarikat besar semakin memberi keutamaan kepada pembekal yang menerima pakai ESG untuk memastikan seluruh rantaian nilai mereka sejajar dengan matlamat kemampanan.
Trend ini sejajar dengan usaha untuk menangani pelepasan skop 3 - pelepasan tidak langsung daripada rantaian bekalan dan aktiviti luaran lain – yang sering menjadi bahagian terbesar dalam jejak karbon sesebuah syarikat.
Institusi kewangan juga dijangka mengutamakan penyaluran pinjaman kepada perniagaan yang mematuhi ESG, mencerminkan peralihan global apabila integrasi ESG penting untuk pertumbuhan jangka panjang dan daya saing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial