EKONOMI > BERITA

TM PERUNTUK RM4 JUTA BAGI BANTUAN, USAHA PEMULIHAN BANJIR

18/12/2024 07:30 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- TM memperuntukkan kira-kira RM4 juta termasuk sumbangan tunai untuk menyokong usaha segera bantuan banjir bagi pelanggan, komuniti dan kakitangan yang terjejas di seluruh negara.

Syarikat telekomunikasi dan teknologi bersepadu terkemuka Malaysia itu turut menyediakan perkhidmatan Wi-Fi percuma di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) untuk memastikan tiada gangguan komunikasi kepada mangsa banjir dan pentadbiran PPS.

Pada masa sama, pasukan pemulihan rangkaian TM bekerja keras untuk membaik pulih perkhidmatan pelanggan yang terjejas akibat banjir monsun baru-baru ini terutamanya di wilayah Pantai Timur.

“Ini melibatkan usaha segera untuk mengubah hala rangkaian komunikasi bagi infrastruktur utama yang telah terjejas akibat banjir bagi meminimumkan gangguan perkhidmatan untuk kerajaan, perusahaan, perniagaan dan juga pengguna,” menurut TM dalam kenyataan pada Rabu.

TM menjelaskan pihaknya memahami cabaran yang dihadapi oleh mangsa banjir justeru, bagi meringankan kesulitan mereka, TM komited menyediakan sokongan tambahan kepada pelanggan Unifi Home yang terjejas.

“Usaha itu termasuk penggantian secara percuma peralatan premis pelanggan (CPE) dan komponen rangkaian yang rosak, rebat langganan selama sebulan untuk pelanggan yang terkesan, dan lanjutan terma kredit selama 60 hari tanpa penggantungan perkhidmatan,” tambah TM.

Menerusi Yayasan TM (YTM), TM telah menggerakkan bantuan perubatan, makanan dan keperluan asas lain dengan sokongan rakan impak sosial.

TM memaklumkan sebagai Sekretariat Bersama dan ahli GLC/GLIC Demi Rakyat dan Negara (GDRN), YTM telah membantu lebih 18,400 individu melalui pelbagai inisiatif termasuk Dana Bantu MOF-GDRN, untuk menyokong komuniti yang terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Amar Huzaimi Md Deris berkata selain membaik pulih ketersambungan, fokus TM adalah menyediakan bantuan bermakna kepada mereka yang terjejas, memastikan mereka dapat membina semula kehidupan dengan lebih berdaya tahan.

Beliau berkata TM komited dalam menyelesaikannya secepat mungkin menerusi 56 Rejimen Semboyan Pakar Telekom Askar Wataniah serta pasukan sukarelawan TM untuk memberikan bantuan di lapangan, menyampaikan perkhidmatan kecemasan dan mempercepat kerja-kerja pemulihan.

TM gembira dapat bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan anggota GDRN dalam usaha kolektif membantu masyarakat yang memerlukan, katanya.

“Melalui kerjasama ini, kami telah membantu lebih 28,000 individu menerusi pelbagai program kesiapsiagaan dan bantuan bencana, memastikan pengagihan bantuan yang lebih cepat di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Menurut TM sebagai sokongan kepada kakitangan yang terjejas, pihaknya telah melancarkan inisiatif dana khalayak dalaman untuk membantu menyediakan kelengkapan asas rumah, bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan seharian secepat mungkin.

“Selain itu, TM juga menghulurkan bantuan kewangan kepada 131 warga TM yang terjejas akibat banjir. Bantuan awal banjir dan tuntutan kerosakan telah pun disalurkan, dengan bantuan lanjut sedang dalam pelaksanaan,” tambah TM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan