EKONOMI > BERITA

PELABUR ASING, TEMPATAN DARIPADA PELBAGAI SEKTOR INDUSTRI TUNJUK MINAT MELABUR DI LABUAN - DR ZALIHA

19/12/2024 03:55 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 19 Dis (Bernama) -- Terdapat ramai pelabur asing dan tempatan daripada pelbagai sektor industri telah menunjukkan minat untuk melabur di Labuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zaliha Mustafa.

"Para pelabur tersebut adalah dari China, Korea dan Malaysia.

“Setakat ini sekurang-kurangnya 32 syarikat dari negara terbabit menunjukkan minat untuk melabur di sini," katanya menerusi satu wawancara eksklusif bersama Bernama baru-baru ini sempena ulang tahun pertama beliau sebagai menteri yang menyelia Wilayah Persekutuan.

Dr Zaliha berkata walaupun Jabatan Wilayah Persekutuan menyelia pembangunan Labuan, Putrajaya dan Kuala Lumpur, namun ia tidak mempunyai cabang pelaburan khusus dan sebaliknya bergantung kepada InvestKL untuk memudahkan perbincangan pelaburan.

“Kami bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, yang memberi jaminan sokongan mereka. Pelaburan masa depan di Labuan akan dihubungkan melalui InvestKL untuk pengendalian yang lancar,” katanya.

Mengenai keperluan infrastruktur yang kritikal, Dr Zaliha menekankan tentang kepentingan bekalan air dan kuasa yang terjamin untuk membina keyakinan pelabur.

“Penting untuk memastikan bekalan yang stabil bagi perkhidmatan kritikal ini. Kita juga menyokong cadangan untuk mengembangkan sektor perkilangan di Labuan, kerana ia akan merancakkan aktiviti ekonomi, meningkatkan eksport, dan mencipta peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya. 

Dr Zaliha berkata Labuan juga perlu mempelbagaikan ekonominya melangkaui sektor tradisi seperti minyak dan gas dan kewangan yang telah lama menjadi tonggak ekonomi pulau bebas cukai ini. 

“Kebergantungan tinggi terhadap sektor-sektor ini mewujudkan kebimbangan dalam kalangan penduduk Labuan. Kita bersedia untuk meneroka industri mampan yang boleh mencipta peluang pekerjaan dan merangsang perniagaan tempatan,” katanya.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan