EKONOMI > BERITA

HLIB SARAN PEMEGANG SAHAM TERIMA TAWARAN BERHUBUNG PENGAMBILALIHAN MAHB

20/12/2024 05:18 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menyarankan pemegang saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk menerima tawaran yang dibuat oleh pemberi tawaran bersama untuk mengambil alih baki saham biasa dalam MAHB yang belum mereka miliki pada harga tawaran tunai RM11 bagi setiap saham yang ditawarkan.

Dalam Pekeliling Nasihat Bebas (IAC) kepada Bursa Malaysia hari ini, MAHB berkata berdasarkan penilaian terhadap tawaran yang dikemukakan, HLIB berpendapat tawaran itu sebagai ‘tidak adil’ tetapi ‘munasabah’.

Harga tawaran mewakili premium daripada 60 sen (5.77 peratus) hingga RM3.02 (37.78 peratus) berbanding harga pasaran dagangan terakhir saham MAHB pada tarikh dagangan terkini (LTD) pengumuman tawaran prasyarat dan lima hari, satu bulan, tiga bulan, enam bulan dan satu tahun harga pasaran purata wajaran volum (VWAMP) sehingga dan termasuk pengumuman tawaran prasyarat LTD.

“Bagaimanapun, keputusan yang akan dibuat bergantung sepenuhnya kepada penilaian risiko dan keperluan pelaburan khusus para pemegang saham.

“Jika pemegang saham membenarkan dan sekiranya mudah tunai dagangan mengizinkannya, mereka boleh mempertimbangkan untuk menjual saham tawaran mereka di pasaran terbuka jika mereka mendapat harga yang lebih tinggi daripada harga tawaran, selepas ditolak kos urus niaga dan dengan andaian tiada semakan semula terhadap harga tawaran,” katanya.

HLIB menasihatkan pemegang saham untuk sentiasa memantau harga pasaran saham, jumlah dagangan dan sebarang pengumuman dan/atau kenyataan media berkaitan tawaran itu sebelum membuat keputusan mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap saham tawaran, kata MAHB.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan