EKONOMI > BERITA

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN AKAN UMUM TARIKH PENGGABUNGAN CAAM-MAVCOM

20/12/2024 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Tarikh tentatif bagi penggabungan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah dimuktamadkan dan akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata tarikh itu ditetapkan selepas Parlimen meluluskan dua rang undang-undang berkaitan industri penerbangan pada 30 Julai, 2024 iaitu Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024.

"Biarlah Menteri (Pengangkutan Anthony Loke) mengumumkan tarikhnya...iaitu pada tahun depan. Secara ideal, apa yang kita mahu lakukan adalah bergerak seiring dengan tarikh penguatkuasaan rang undang-undang itu," katanya pada majlis makan tengah hari penghargaan media anjuran CAAM hari ini. 

Menjelaskan selanjutnya, Norazman berkata CAAM juga masih tertakluk di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari segi skim gaji dan pengambilan kakitangan.

“Agensi atau entiti masih mempunyai masa untuk membuat persediaan dari segi memperkemas semua proses berkaitan,” katanya.

Beliau berkata langkah itu juga bertujuan meningkatkan kecekapan dalam industri penerbangan dengan memupuk komunikasi lebih baik antara pihak pengawal selia ekonomi dan teknikal.

Langkah penyusunan semula itu akan turut memperkemas proses terbabit bagi memudahcara syarikat yang berminat membuka syarikat penerbangan, menawarkan perkhidmatan pengendalian darat selain berkembang ke destinasi baharu yang menyokong pertumbuhan serta pembangunan industri.

Selain itu, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 pula melibatkan pembubaran Mavcom dan pemindahan semua fungsi dan kuasanya kepada CAAM.

Mekanisme tunggal itu sememangnya digunapakai di kebanyakan negara yang menguruskan sektor pengangkutan udara utama dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Singapura dan China.

Dalam perkembangan lain, Norazman berkata CAAM akan mewujudkan menara kawalan trafik udara (ATC) secara jarak jauh bagi kemudahan lapangan terbang Pulau Pinang dan Johor tahun depan yang menjadi sebahagian daripada inisiatif bagi meningkatkan keselamatan serta operasi secara cekap kos.

Beliau berkata menara itu membolehkan perkhidmatan ATC dari lokasi terpencil yang bukan kendalian menara ATC konvensional.

“Pada masa ini, ia tidak sesuai bagi lapangan terbang berintensiti tinggi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Namun seiring kemajuan, matlamat utamanya adalah untuk mempunyai menara kawalan jarak jauh untuk lapangan terbang di seluruh negara ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan